GLOBAL | Indonesia bercadang untuk menjadi hos hab simpanan minyak Asean bagi meningkatkan rizab tenaga serantau ketika negara-negara Asia Tenggara terus berusaha memperkukuh keselamatan tenaga susulan konflik berterusan di Asia Barat.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia, berkata walaupun belum ada keputusan muktamad mengenai cadangan tersebut, Jakarta berharap mereka dapat bekerjasama dengan Malaysia, Brunei dan Filipina bagi merealisasikan cadangan itu.
“Kami akan membina simpanan di mana-mana sahaja, tetapi saya mencadangkan Indonesia,” katanya.
Menurut Bahlil, hab minyak serantau itu mampu membantu membekalkan bahan tersebut kepada negara Asean jika berlaku gangguan, selain menjadi langkah penting dalam memperkukuh keselamatan tenaga serantau.

Kenyataan itu dibuat susulan lawatan Bahlil bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, ke Cebu, Filipina minggu lalu sempena Sidang Kemuncak Asean ke-48.
Dalam sidang kemuncak itu, para pemimpin Asean mencadangkan beberapa inisiatif baru termasuk simpanan bahan api serantau dan mekanisme kesiapsiagaan keselamatan makanan bagi mengurangkan kesan penutupan Selat Hormuz serta kemungkinan gangguan serupa pada masa hadapan.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr memberitahu media selepas sidang kemuncak berakhir pada Jumaat lalu, Asean sedang mempertimbangkan satu “mekanisme” bagi mewujudkan simpanan pelbagai produk bahan api yang boleh dikongsi bersama.
"Situasi pada masa ini adalah sangat berbeza bagi setiap negara. Sesetengah negara mempunyai lebihan bahan api tertentu manakala yang lain mengalami kekurangan, dan kami cuba mengimbangkan perkara itu," katanya.
Tambah Marcos Jr, apabila berlaku krisis seperti yang menjejaskan Selat Hormuz sekarang, Asean mempunyai tempat untuk mendapatkan bekalan kecemasan dengan segera.
Selain isu simpanan bahan api, sidang kemuncak itu turut membincangkan kesalinghubungan elektrik rentas sempadan dan usaha mempelbagaikan sumber tenaga serantau.
Sementara itu Bahlil turut mengumumkan rancangan Jakarta membina kemudahan simpanan minyak domestik di sebuah zon ekonomi khas di Sumatera bagi meningkatkan rizab strategik mereka.
Menurutnya, projek di Sumatera itu tetap diteruskan walaupun jika Indonesia tidak dipilih sebagai hos hab simpanan minyak Asean.





