Hanya tiga Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang PKR Shah Alam yang mengesahkan keluar daripada parti itu secara sukarela, kata Ketua Cabangnya, Najwan Halimi.
Najwan berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan dan semakan terhadap senarai nama dalam kenyataan media pihak tertentu yang mendakwa seramai 21 AJK dan pimpinan wanita cabang PKR Shah Alam telah meninggalkan parti itu.
"Pihak cabang mendapati hanya tiga AJK cabang yang mengesahkan telah keluar parti secara sukarela.
"Kami percaya tindakan kelompok ini didalangi oleh salah seorang ahli parlimen PKR yang kecewa susulan kekalahan beliau dalam pengundian parti bagi merebut jawatan peringkat pusat dan cabang pada tahun lalu," katanya dalam kenyataan.
Dia bagaimanapun tidak menamakan individu terbabit.
Najwan turut menegaskan PKR Cabang Shah Alam kekal utuh dan tidak akan tunduk kepada sebarang gerakan yang disifatkannya sebagai "usaha makar daripada pemimpin yang bersifat gunting dalam lipatan”.
Terdahulu, sekumpulan AJK Cabang PKR Shah Alam bersama pimpinan wanita cabang itu dalam satu kenyataan mengumumkan peletakan jawatan dan pengunduran mereka daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
Mereka mendakwa keputusan itu dibuat selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti dan kepimpinan Najwan Halimi.
Turut disertakan ialah senarai nama 21 pimpinan akar umbi terbabit.
Ini merupakan kali kedua tindakan keluar parti melibatkan pimpinan akar umbi PKR dalam tempoh seminggu.
Pada 21 Mei lalu, Jawatankuasa Pemuda PKR (AMK) Cabang Pandan didakwa terbubar selepas 19 ahli jawatankuasanya meletakkan jawatan.
Langkah itu diambil selepas bekas menteri dari PKR, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan keluar parti pada 17 Mei lalu dan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama).





