Gobind Singh Deo tidak perlu melepaskan jawatan menteri yang disandangnya susulan kekalahan dalam pengundian DAP Selangor baru-baru ini, kata setiausaha agung DAP Anthony Loke.
Loke dipetik oleh media sebagai berkata, meskipun keputusan tersebut sesuatu yang mengejutkan namun Gobind menerimanya dengan hati terbuka.

Katanya, keputusan itu sebagai sebahagian daripada proses demokrasi dalam DAP dan Gobind tidak perlu berundur sebagai menteri digital.
“Ini adalah proses demokratik biasa. Malah, dengan kekalahan ini tidak bermakna beliau (Gobind) perlu berundur.
“Gobind masih memainkan perananan penting sebagai Timbalan Pengerusi DAP di peringkat kebangsaan dan saya berterima kasih kepada beliau atas sumbangannya kepada DAP Selangor selama ini,” katanya.
Dalam pengundian DAP Selangor semalam, Gobind gagal mempertahankan jawatannya sebagai pengerusi DAP Selangor selepas tewas dipilih sebagai seorang daripada 15 ahli jawatankuasa DAP Selangor.

Gobind - pengerusi DAP Selangor penggal sebelum ini - adalah satu-satunya menteri yang tidak dipilih menganggotai jawatankuasa negeri tahun ini.
Semalam, ketika berucap pada konvensyen DAP Selangor, Loke berkata jawatankuasa negeri seterusnya harus terdiri daripada "CIMB" - "Cina, India, Melayu dan juga Singh".





