Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Mas Ermieyati Samsudin menyatakan rasa terkejut dan kecewa terhadap dakwaan Menteri Pengangkutan Anthony Loke bahawa dia dipanggil kerana dia ahli parlimen daripada DAP.
Pemimpin Bersatu itu berkata dia terkilan dengan kenyataan Loke kerana ramai menteri dan bekas menteri lain telah dipanggil sebelum ini oleh PAC, tanpa mengira fahaman politik mereka.
"Adakah Pengerusi PAC sebelum saya, yang juga daripada DAP mengadakan prosiding dengan memanggil saksi-saksi di kalangan menteri kabinet disebabkan parti mereka sama ada Umno, Bersatu atau MCA.
"Pada pandangan saya, semua Pengerusi PAC bertindak profesional dalam memastikan kredibiliti dan profesionalisme Jawatankuasa ini sentiasa terpelihara dan dihormati sejak penubuhannya pada tahun 1959,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dia mengingatkan bahawa PAC adalah jawatankuasa dwipartisan, dan dia juga mesti mengekalkan keputusan konsensus 13 ahli jawatankuasa lain dalam memulakan prosiding atau memanggil saksi untuk setiap prosiding.
Untuk konteks, Mas Ermieyati adalah ahli parlimen Bersatu, yang selaras dengan amalan melantik ahli parlimen pembangkang ke jawatan pengerusi PAC bagi memastikan semak dan imbang perbelanjaan kerajaan. Seorang backbencher kerajaan akan dilantik menjadi timbalan pengerusi.
Pada 1 Feb, Mas Ermieyati dipetik berkata dia tidak menolak memanggil Loke untuk memberi keterangan mengenai kelewatan memulihkan perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Gateway Development Alliance Sdn Bhd, dan isu lain.
Bagaimanapun, Loke dilaporkan mendakwa rancangan untuk memanggil dia dan pegawai Kementerian Pengangkutan lain adalah bermotifkan politik. Ini kerana, katanya, kementeriannya tiada kaitan dengan penjualan saham MAHB.
Dia menjelaskan bahawa MAHB ialah syarikat senaraian awam di mana Kementerian Kewangan pemegang saham utama dan diuruskan oleh pengurus dana institusi berkaitan.
Loke mendakwa Ermieyati mempunyai agenda politik dan cuba menyalahkan pemimpin DAP.
“Dalam kes yang disebutkan itu, ia merujuk kepada KWSP. Jadi kalau nak tanya penjelasan, tanyalah KWSP, bukan kementerian saya," katanya seperti dipetik The Star.
Bagaimanapun, Mas Ermieyati menyangkal bahawa prosiding PAC adalah berkaitan pengurusan lapangan terbang awam.
Jelasnya, ia bukan semata-mata tertumpu kepada pengambilalihan MAHB, tetapi juga pada kenaikan harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak dan kelewatan memulihkan perkhidmatan Aerotrain di KLIA.
Justeru, katanya, Kementerian Pengangkutan merupakan pemegang kepentingan utama dalam isu ini.
"Justeru, saya ingin bertanya kepada Loke adakah beliau tidak mahu memberikan maklum balas atau pandangan sebagai Menteri Pengangkutan bagi menambah baik Pengurusan Lapangan Terbang Awam negara untuk dimasukkan dalam Laporan PAC.
"Sekiranya enggan terpulanglah kepada beliau dan sejarah akan merekodkan bahawa seorang Menteri Kabinet enggan hadir di hadapan PAC untuk memberikan pandangan dan penjelasan kepada PAC sedangkan ia adalah demi kebaikan rakyat dan negara.
"Ia disebabkan PAC mahu memastikan bahawa Penyata berhubung isu ini adalah sebuah laporan yang komprehensif, tidak berat sebelah dan dokumen yang menjadi rujukan semua pihak demi rakyat dan negara,” katanya.





