30.7 C
Kuala Lumpur
Monday, May 25, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Cuaca panas: Kebakaran di Negeri Sembilan melonjak 205 kes

    Shopee Sale

    Peningkatan mendadak kes kebakaran terbuka di Negeri Sembilan bagi tempoh 1 Mac hingga semalam dipercayai berpunca daripada faktor cuaca panas dan kering selain aktiviti pembakaran terbuka oleh segelintir pihak.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan Nor Arifin Kamari berkata sebanyak 205 kes direkodkan dalam tempoh berkenaan iaitu meningkat 159.5 peratus berbanding 79 kes bagi tempoh sama tahun lepas membabitkan kebakaran belukar atau lalang, kebun atau ladang, hutan dan sampah.

    "Kes kebakaran terbuka pada masa ini dipengaruhi oleh keadaan cuaca panas ekstrem serta tiupan angin yang agak kencang hingga mempercepatkan proses api merebak dengan lebih mudah dan tidak terkawal.

    "Cuaca panas melampau itu turut menyebabkan paras air dalam tanah semakin rendah dan menyumbang kepada keadaan tanah yang kering sekali gus mempercepatkan proses penyebaran api,” katanya kepada Bernama, di Seremban, hari ini.

    Beliau berkata selain itu, sempena musim perayaan, peningkatan aktiviti seperti pembakaran sampah bagi tujuan pembersihan kawasan, percikan sisa api daripada penggunaan mercun serta pembuangan puntung rokok yang masih bernyala turut menyumbang kepada kebakaran terbuka.

    MENARIK:  Menjelang PRN, PAS nyatakan komitmen pertahan hak rakyat Sabah

    Nor Arifin berkata Pusat Gerakan Operasi Negeri dan balai mendapat panggilan daripada sistem NG999 yang tinggi setiap hari untuk menangani kes kebakaran terbuka di seluruh daerah dengan kawasan tumpuan pada masa ini adalah di Seremban, Teluk Kemang dan Tampin.

    “Peningkatan mendadak kes kebakaran terbuka ini amat membimbangkan dan berpotensi memberi kesan terhadap keselamatan awam, kesihatan masyarakat serta alam sekitar,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau berkata JBPM Negeri Sembilan menyeru semua pihak termasuk jabatan, agensi serta masyarakat untuk bersama-sama memainkan perananan dalam meningkatkan kesedaran berkaitan kesan pembakaran terbuka.

    “Orang awam disarankan tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka terutama dalam keadaan cuaca panas dan kering bagi mengurangkan risiko berlakunya kebakaran tidak terkawal selain tidak membakar sampah secara terbuka.

    “Masyarakat juga perlu memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih daripada bahan mudah terbakar dan melaporkan dengan segera sebarang kejadian kebakaran kepada pihak berkuasa melalui talian kecemasan 999 atau balai bomba yang berhampiran,” katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah