Bekas anggota parlimen Klang Charles Santiago memberi amaran bahawa PH berdepan risiko kehilangan lebih banyak undi jika terus gagal menangani kos sara hidup, reformasi institusi dan isu yang menjejaskan masyarakat India.
Merujuk kepada keputusan pilihan raya Negeri Sembilan baru-baru ini, ahli politik DAP itu berkata PH mesti bertindak pantas kerana ruang untuk meraih semula sokongan pengundi sebelum pilihan raya umum akan datang semakin sempit.
“PH menguasai Negeri Sembilan sejak 2018. Namun pilihan raya kali ini menyaksikan peratusan keluar mengundi meningkat daripada 68.4 peratus pada 2023 kepada 72.6 peratus, dengan pengundi keluar dalam jumlah lebih ramai dan menyampaikan mesej jelas dengan menyokong BN/Perikatan Nasional.

“Mesejnya mudah: rakyat sedang bergelut dan mereka marah,” kata Charles dalam satu kenyataan hari ini.
Sabtu lalu, pilihan raya Negeri Sembilan berakhir dengan kemenangan besar pakatan BN-PN yang memenangi 25 daripada 36 kerusi selepas meraih sebahagian besar undi Melayu bagi memperoleh majoriti lebih dua pertiga.
BN turut mencatatkan kemenangan besar ke atas PH di Linggi dan Chennah, menewaskan bekas menteri besar Aminuddin Harun serta Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Keputusan itu menyusul selepas BN memperoleh majoriti dua pertiga dengan menguasai 48 daripada 56 kerusi pada pilihan raya Johor bulan lalu, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa gabungan itu boleh mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan pilihan raya umum tergempar.
Pelbagai rungutan semarakkan rasa tidak puas hati
Charles berkata PH mungkin menunjuk kepada pencapaian makroekonominya, tetapi pengundi akan bertanya mengapa kejayaan itu belum diterjemahkan kepada wang yang lebih dalam akaun bank mereka.

“Bantuan Sara (Sumbangan Asas Rahmah) mungkin memberi kelegaan sementara, tetapi tidak dapat menampung ekonomi yang gagal menyediakan pendapatan wajar dan mampan. Kos penjagaan kesihatan menambah satu lagi beban.
“Kebimbangan ini dibangkitkan berulang kali semasa sesi libat urus kami dengan NGO di Negeri Sembilan,” tambahnya.
Perkara sama terpakai kepada pekerja gig, kata Charles, dengan berhujah bahawa Akta Pekerja Gig 2025 menganggap mereka sebagai kontraktor bebas dan bukannya pekerja, serta tidak menuntut tanggungjawab majikan secara mencukupi bagi caruman perlindungan sosial.
Dia juga berkata pengundi India menghantar “mesej jelas” menolak Anwar dan PH berikutan siri kesilapan melibatkan kuil, maklum balas perdana menteri terhadap seorang pelajar India, serta persepsi umum bahawa masyarakat itu diambil mudah.
“Sementara, BN-PN berjaya menggerakkan pengundi Melayu di sebalik politik penyatuan Melayu, dengan DAP dijadikan sebagai unsur momokan (bogeyman), dan ketuanan Melayu diketengahkan sebagai jawapan kepada kemelut pengundi Melayu.
“PH tidak boleh menepis politik ini dengan sekadar mengandaikan pengundi akan kekal setia,” ulasnya.

Lebih membimbangkan, kata Charles, adalah apa yang digambarkannya sebagai kehilangan kompas reformasi PH, dengan mengambil contoh penanganan skandal melibatkan bekas ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan kebimbangan isu rasuah secara lebih luas.
Dia berkata pertumbuhan “kartel korporat dan buruh” turut menghakis kepercayaan pengundi kelas pertengahan dan tapak sokongan tradisi PH.
“Janji reformasi yang membawa rakyat ke jalanan dan pusat pengundian semakin digantikan oleh kepentingan politik.
“Anwar dan PH mesti memahami perkara ini: pengundi tidak bodoh, dan mereka tidak akan setia selamanya. PH patut ingat bagaimana ia memegang kuasa, dan mengapa ia boleh kehilangan kuasa itu dengan begitu mudah,” tambahnya.
Laluan PRU16
Menurut analisis Malaysiakini mengenai keputusan di Negeri Sembilan, kekecewaan pengundi PH yang kian meningkat, ditambah dengan kelangsungan kerjasama BN-PN, boleh menyebabkan PH kehilangan banyak kerusi di peringkat parlimen dan di negeri-negeri termasuk Melaka, Perak, Kedah, Pahang mahupun Pulau Pinang.
Semalam, Hassan Abdul Karim daripada PKR memberi amaran agar tidak terburu-buru mengadakan PRU16 yang mesti diadakan menjelang Februari 2028.

Anggota parlimen Pasir Gudang itu memberi amaran bahawa PKR boleh "mati terkejut” akibat kekalahan jika pilihan raya awal diadakan, yang berpotensi memburukkan lagi kesan kekalahan berturut-turut di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.
Dia berkata mengadakan PRU16 dalam tempoh 12 hingga 18 bulan dari sekarang sebaliknya akan memberi ruang kepada keletihan pengundi untuk reda serta membolehkan momentum pembangkang mereda.





