Memasuki usia 20-an sering dianggap sebagai fasa penting dalam kehidupan apabila seseorang mula memikirkan dengan lebih serius mengenai pelajaran, kerjaya dan hala tuju masa depan.
Dalam tempoh ini juga, anak muda berdepan pelbagai pilihan sama ada mahu meneruskan pengajian, memasuki alam pekerjaan ataupun melakukan kedua-duanya dalam satu masa.
Tidak terkecuali penyanyi muda, Zaki Yamani yang berkongsi pandangannya mengenai perkara tersebut selain menitipkan beberapa pesanan buat golongan lelaki seusianya menerusi segmen #TipsXTRA.
Artikel Berkaitan: ‘Terkilan, Perkara Itu Mencalarkan Baik Ibu Saya’ – Zaki Yamani
Artikel Berkaitan: POV XTRA: Takut Masa Terbuang Dalam Industri, Zaki Yamani Pasang Impian Jadi Seniman Disanjungi
Lelaki Kena Kerja
#TipsXTRA merupakan segmen yang mengetengahkan perkongsian, nasihat serta pandangan selebriti mengenai kehidupan, kerjaya, hubungan dan pembangunan diri yang boleh dijadikan panduan kepada pembaca.
Bagi edisi #TipsXTRA minggu ini, anak kepada penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah itu menitipkan pesanan buat golongan lelaki seusianya agar tidak mensia-siakan usia muda, sebaliknya terus berusaha membina masa depan menerusi pendidikan atau pekerjaan.
Menurut Zaki yang kini berusia 20 tahun, mereka yang masih mempunyai peluang untuk menuntut ilmu seharusnya meneruskan pengajian, manakala mereka yang sudah tamat belajar atau memilih laluan berbeza perlu berusaha mencari pekerjaan.
Di usia 20 tahun, untuk lelaki di luar sana yang sebaya dengan saya, saya cuma nak pesan, yang masih belajar teruskan belajar.
Yang dah habis belajar atau tak belajar, tolong kerja. Kita lelaki kena kerja.
Belajar Sambil Bekerja Pun Tiada Masalah
Dalam masa sama, Zaki berpandangan seseorang itu juga boleh memilih untuk belajar sambil bekerja sekiranya mampu menguruskan komitmen dengan baik.
Baginya, perkara paling penting adalah disiplin serta kebijaksanaan dalam membahagikan masa supaya kedua-dua tanggungjawab dapat dilaksanakan tanpa mengabaikan salah satunya.
Kalau nak belajar sambil kerja pun boleh. Agihkan masa dengan baik, insya-Allah.
Pesanan tersebut secara tidak langsung mengingatkan anak muda perjalanan setiap individu mungkin berbeza, namun usaha untuk berdikari dan membina masa depan tidak seharusnya dihentikan.
Jangan Lupa Doa dan Restu Ibu
Selain usaha sendiri, Zaki turut menekankan betapa pentingnya hubungan seorang anak dengan ibu dalam mengejar kejayaan.
Dia menyarankan anak-anak supaya sentiasa meminta doa serta meluangkan masa untuk menghubungi ibu setiap hari.
Minta doa ibu dan hubungi ibu setiap hari supaya kejayaan kita akan lebih dekat serta dipermudahkan segala urusan dengan reda dan berkat daripada seorang ibu.
Bagi Zaki, kejayaan bukan sekadar bergantung kepada usaha dan kerja keras, tetapi turut hadir bersama doa serta keberkatan daripada insan yang paling dekat dalam kehidupan seseorang.
Pesanan ringkas Zaki itu mungkin kedengaran sederhana, namun cukup relevan buat anak muda yang sedang mencari arah kehidupan agar mereka teruskan belajar jika masih diberi peluang, bekerja untuk membina masa depan dan jangan sesekali melupakan doa serta restu ibu.
The post #TipsXTRA: ‘Kita Lelaki Kena Kerja’ – Zaki Yamani Pesan Anak Muda Usaha Bina Masa Depan, Jangan Pernah Lupa Restu Ibu first appeared on OHBULAN!.





