Menteri Digital Gobind Singh Deo menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan perkembangan siasatan berhubung dakwaan “mafia korporat”.
Pengerusi Kebangsaan DAP itu berkata Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Abdul Halim Aman wajar menyatakan jika individu yang boleh membantu siasatan, termasuk ahli perniagaan Victor Chin, sudah dipanggil memberi keterangan.
"Pada Mac tahun ini, kabinet telah mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan ke atas perkara ini.
"Masa yang mencukupi telah berlalu sejak itu untuk pihak polis dan SPRM meneliti dakwaan tersebut serta menjalankan siasatan yang diperlukan.
"Perkara ini merupakan isu berkepentingan awam yang besar dengan implikasi antarabangsa yang ketara yang akan menjejaskan keyakinan pasaran, menjadikannya isu nasional yang menuntut tindakan segera dan tegas.
"Ada juga dakwaan mengenai beberapa individu mendalangi operasi dalam skim ini. Oleh itu, adalah penting untuk menyatakan tindakan yang telah diambil setakat ini dan apa yang akan berlaku seterusnya dalam perkara tersebut," katanya pada kenyataan media hari ini.
Gesaan terbaru itu merupakan kali kedua Gobind membangkitkan perkara berkenaan dalam tempoh kira-kira empat bulan.
Pada 4 Mei lalu, ahli parlimen Damansara itu turut mendesak KPN menjelaskan status siasatan terhadap dakwaan berkenaan.
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil pada 11 Mac lalu pula berkata kabinet mengarahkan agensi penguatkuasaan meneruskan siasatan terperinci terhadap dakwaan manipulasi korporat.
Dalam perkembangan berasingan pada hari sama, menteri komunikasi itu berkata kabinet turut membincangkan laporan jawatankuasa khas berhubung isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Azam Baki.
Jawatankuasa berkenaan diketuai Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar manakala tindakan susulan terhadap laporan itu diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.
Bagaimanapun, Fahmi berkata dia tidak akan mendedahkan butiran laporan tersebut buat masa itu.
Pada April, Fahmi berkata Putrajaya masih belum dimaklumkan mengenai tindakan yang mungkin diambil terhadap Azam dan mengulangi keputusan kabinet untuk menyerahkan perkara itu kepada KSN.
Sementara itu, pada 16 April, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Chin untuk memberi keterangan melalui aplikasi Zoom dalam suatu kes sivil.
Dalam penghakiman bertulisnya, Hakim Leong Wai Hong menyatakan beberapa alasan di sebalik keputusan itu, termasuk kegagalan Chin mengemukakan notis permohonan yang sewajarnya kepada mahkamah.
Mahkamah turut mendapati ahli perniagaan itu tidak mengemukakan bukti yang dapat menyokong dakwaan bahawa nyawanya akan terancam jika dia kembali ke Malaysia.
Hakim juga tidak berpuas hati dengan alasan Chin untuk tidak hadir memberi keterangan secara fizikal di mahkamah.
Menurut Leong, kebimbangan Chin terhadap keselamatannya hanya berasaskan dakwaan semata-mata.
Mengulas lanjut, Gobind berkata rakyat Malaysia berhak mengetahui kedudukan semasa siasatan serta langkah konkrit yang akan diambil bagi menangani perkara itu.
"Saya menggesa KPN dan Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk menyatakan pendirian mereka tanpa lengah serta memperincikan bagaimana mereka berhasrat untuk menyelesaikan perkara ini dan bila," katanya.





