GLOBAL | Seorang hakim Mahkamah Agung Brazil memerintahkan agar penggunaan platform media sosial X digantung di seluruh negara itu, lapor Agensi Anadolu hari ini.
Tindakan tegas itu dibuat ketika ada dakwaan menyebut X - yang dimiliki oleh bilionair Elon Musk - berulang kali gagal mematuhi perintah mahkamah dan peraturan Brazil.
Dalam satu kenyataan, hakim Alexandre de Moraes berkata: "Kegagalan mematuhi perintah mahkamah secara berulang, sedar, dan sengaja serta kegagalan mematuhi denda harian, ditambah pula dengan percubaan untuk mengelak daripada sistem perundangan dan badan kehakiman Brazil, telah membawa kepada penciptaan persekitaran bebas daripada hukuman dan 'tanah tanpa undang-undang' di rangkaian sosial Brazil."
Mahkamah turut menekankan kebimbangan bahawa platform itu telah menjadi medium untuk menyebarkan retorik kebencian dan perkauman sekali gus menjejaskan proses demokrasi negara.
Pada 28 Ogos lalu Moraes memberi tempoh 24 jam kepada Musk untuk melantik wakil undang-undangnya di Brazil.
Dia juga memberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan perkhidmatan X di negara itu digantung.
Berikutan tekanan undang-undang yang semakin meningkat serta denda daripada badan kehakiman Brazil, Musk telah menutup pejabat X di negara itu minggu lepas.
Mahkamah Agung kini mengarahkan Agensi Telekomunikasi Nasional (Anatel) untuk memutuskan sambungan rangkaian media sosial itu di seluruh negara dalam tempoh 24 jam.
Syarikat seperti Apple dan Google pula diberi masa lima hari untuk mengeluarkan aplikasi X daripada gedung dalam talian mereka.
Musk kemudiannya menggunakan platform X untuk mengkritik Moraes. Namun, dia belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung denda dan siasatan terkini daripada badan kehakiman Brazil.





