Nasib ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang direman bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autisme itu akan diketahui esok, kata peguam bela bapa kanak-kanak itu, Fahmi Abd Moin.
Menurutnya, sama ada mereka akan didakwa atau dibebaskan dengan jaminan polis akan diketahui esok kerana reman terhadap mereka tidak akan disambung lagi selepas ditahan selama 13 hari berakhir esok.
"Esok adalah hari terakhir (ibu bapa Zayn) direman, hari ke-13. Esok adalah keputusan, saya percaya kertas siasatan sudah sampai ke pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).
"Mereka (AGC) akan akses dan teliti serta lihat dan membuat keputusan esok sama ada lepas dengan jaminan polis atau dituduh.
"Semua kena bersabar dan kita tunggu esok. Penekanan kami seperti rakyat Malaysia ingin nasib arwah (Zayn Rayyan) dibela dan diberi keadilan," katanya yang dipetik oleh Berita Harian Online, ketika ditemui di lobi Kompleks Mahkamah hari ini.
Terdahulu, beberapa media melaporkan polis membawa ibu Zayn Rayyan ke Mahkamah Majistret di Petaling Jaya untuk memohon bagi mendapatkan pengakuan salah wanita itu berkaitan kes bunuh kanak-kanak autisme berkenaan.
Beita Harian juga memetik peguam bela ibu kanak-kanak itu, Mahmud Jumaat, sebagai berkata pihaknya membantah permohonan terbabit yang dibuat mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan.
Katanya, anak guam juga tidak membuat sebarang pengakuan dan perkara itu direkodkan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Sementara itu, Mahmud Jumaat, senada dengan Fahmi bahawa pasangan terbabit sama ada didakwa atau dibebaskan dengan jaminan polis akan diketahui esok.
"Saya mohon orang ramai memberi kerjasama. Kita hormati proses siasatan dan esok kita boleh mendengar dan melihat pertuduhan dibuat serta hasil siasatan," katanya.
Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam, 6 Disember tahun lalu.
Mayat mangsa ditemukan oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya. Dia sebelum itu dilaporkan hilang.
Susulan hasil bezah siasat, polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh berdasarkan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.
Polis kemudiannya menahan reman ibu bapa kanak-kanak malang tersebut, selama 13 hari bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan.





