Genap setahun yang lalu, pada hari ini, Malaysia kehilangan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.
Pemergiannya meninggalkan kesan yang dalam kepada negara, terutamanya melalui buah fikirannya, "Menu Rahmah" - hidangan berkhasiat mampu milik yang berharga hanya RM5.
Bercakap kepada Malaysiakini, pengganti Salahuddin, Armizan Mohd Ali berkata dia akan meneruskan aspirasi yang selama ini menjadi asas kementerian itu dalam memastikan kecemerlangan langkah mitigasi untuk menjaga keterjaminan makanan.
Mengenai statistik terkini peniaga makanan yang masih menghidangkan Menu Rahmah, kementerian berkata sekurang-kurangnya 2,270 pengusaha restoran termasuk pemilik gerai, pengusaha makanan segera dan trak makanan masih menghidangkan menu mampu milik di seluruh negara.
Bagaimanapun, kementerian mengakui bahawa vendor berdepan kesukaran walaupun berniat murni berikutan peningkatan operasi perniagaan dan kos pengeluaran.
"Oleh yang demikian, kementerian pada 2 November 2023 telah mengambil langkah intervensi dengan melancarkan inisiatif Kad Diskaun Khas Menu Rahmah khusus kepada pengusaha Menu Rahmah.
"Melalui inisiatif ini, pengusaha Menu Rahmah dapat memperolehi tawaran diskaun harga khas bagi barangan asas perniagaan di pasaraya-pasaraya terpilih iaitu pasaraya Lotus’s, Mydin, AEON Big, NSK, Segi Fresh, Giant dan Econsave," kata KPDN menerusi kenyataan kepada Malaysiakini.
KPDN berkata sebanyak lebih 5,000 jenis barangan atau ‘stock keeping unit’ (SKU) telah ditawarkan dengan diskaun khas secara purata sebanyak 40 peratus.
Pada April tahun ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata penurunan dalam pengusaha makanan yang menawarkan hidangan Menu Rahmah adalah disebabkan kesedaran yang rendah dalam kalangan perniagaan, sambil menambah bahawa kad diskaun itu akan membantu memastikan mereka tidak perlu menanggung kerugian.
Dalam era kos sara hidup yang semakin meningkat, Menu Rahmah hasil cetusan Salahuddin muncul sebagai inisiatif kerajaan Madani untuk membantu masyarakat B40. Langkah itu disambut baik rakyat Malaysia daripada petani mangga di Kangar, Perlis, ke jalan yang sibuk di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, sehingga kepada nelayan di Semporna, Sabah.
Mengenang Salahuddin, Presiden Amanah Mohamad Sabu mencurahkan penghormatan dalam bentuk kata-kata dilaman media sosial X, menggelar Salahuddin sebagai "Bapa Rahmah" sebagai memperingati cetusan idea Salahuddin.
"Jasa dan bakti yang telah dicurahkan cukup bermakna buat rakyat Malaysia. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman," katanya.





