Kebanyakan mangsa banjir di sekitar Bukit Rambai dan Tanjung Minyak di Melaka tidak sempat menyelamatkan barangan berharga termasuk perabot dan peralatan elektrik apabila air naik mendadak hingga mencecah paras lutut dalam tempoh singkat, petang semalam.
Seorang mangsa, Fadilah Misran, 40-an, berkata ketika kejadian dia bersama empat anaknya yang berusia 12 hingga 26 tahun sedang berehat di rumah mereka di Taman Rambai Jaya sebelum kediaman yang terletak berhampiran sungai itu mula dimasuki air pada paras buku lali dan meningkat dengan pantas hingga paras lutut.
Ibu tunggal itu berkata keadaan tersebut mencetuskan panik kerana mereka tidak mempunyai masa untuk menyelamatkan perabot serta peralatan elektrik sebelum mengambil keputusan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak 2 pada kira-kira 7.30 malam.
"Mulanya ingat hujan hanya sementara dan tidak sebabkan banjir yang turut membawa lumpur tebal... semua barangan habis rosak dan tiada yang dapat diselamatkan.

"Sedih rasanya sebab barangan yang ada sebelum ini pun terpaksa berhutang... nak beli balik memang bukan mudah, namun terpaksa reda dan anggap ia ujian," kata pekerja kilang berkenaan yang telah menyewa di taman berkenaan sejak 20 tahun lepas ketika ditemui Bernama di PPS SK Tanjung Minyak 2 di Melaka hari ini.
Sementara itu, jirannya Roma Sumpeno, 45, berkata kejadian itu merupakan yang ketiga berlaku sejak 2021 namun banjir kali ini paling teruk dialami kerana menyebabkan kerosakan yang banyak.
Suri rumah itu berkata bagaimanapun dia bersyukur kerana kesemua lapan ahli keluarga termasuk dirinya dapat menyelamatkan diri daripada terperanangkap di rumah mereka.
"Lepas ini semua kena beli barangan elektrik dan perabot baharu seperti katil, tilam dan peti sejuk kerana ia satu keperluan tapi terpaksa berhutang lagi," katanya.
Taburan hujan melebihi Ribut Senyar
Zahara Ismail, 80, dari Kampung Tanjung Minyak di Melaka berkata banjir yang berlaku merupakan ujian besar buat dia dan suami Abd Wahab Osman, 80, yang hanya tinggal berdua kerana mereka perlu membersihkan rumah yang dinaiki air sendiri selain semua perabot dan barangan elektrik rosak.
"Tadi suami makcik balik untuk lihat keadaan rumah dan maklumkan peti sejuk dan barangan lain banyak yang rosak... dia hanya kemaskan seorang setakat ini tetapi kudratnya bukan sekuat orang muda," katanya yang terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda disebabkan keadaan kakinya yang lemah dan tidak mampu berdiri.
Semalam, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka Mohd Adnan Ahmad Fauzi dilaporkan berkata taburan hujan tinggi di Melaka Tengah dan Alor Gajah, yang melebihi taburan hujan ketika Ribut Tropika Senyar pada akhir tahun lepas, menjadi antara punca banjir di kedua-dua daerah berkenaan hari ini.
Beliau dipetik sebagai berkata jumlah taburan kumulatif hujan tertinggi, iaitu melebihi 100 milimeter (mm) telah dicatatkan di dua daerah itu pada 2.30 petang.





