Satu video memaparkan seorang wanita memarahi bapanya yang berusia 67 tahun berhubung dakwaan merogol anak gadisnya tular di media sosial, dan polis kemudian mengesahkan lelaki itu ditahan.
Menurut Sinar Harian, lelaki itu direman selama enam hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Kes itu dipercayai terbongkar selepas pelajar berusia 13 tahun itu menceritakan kejadian berkenaan kepada ibunya. Wanita itu kemudian membuat laporan polis dua hari lalu.
Siasatan awal mendapati mangsa sebelum ini tinggal bersama datuknya di Batu Pahat, Johor, berikutan perceraian ibu bapanya.
Bagaimanapun, pada April lalu, mangsa dibawa pulang oleh ibunya ke sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia.
Laporan itu menyebut bahawa si ibu mula curiga ada sesuatu yang tidak kena selepas menyedari anak perempuannya menghantar mesej kepada seorang kenalan.
Pada mulanya, remaja itu tidak mendedahkan apa yang berlaku, tetapi akhirnya mengaku didakwa dirogol oleh datuknya.
Siasatan juga mendapati kejadian itu dipercayai berlaku sepanjang tahun lalu, dengan kejadian terakhir didakwa berlaku pada Disember.





