33.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, June 10, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    AMK label Akmal Saleh ‘parasit’, cabar MP Umno sekat Anwar

    Shopee Sale

    Pemuda PKR (AMK) hari ini membidas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh, dan melabelkannya sebagai "parasit" dalam kerajaan Perpaduan susulan tindakannya mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap kepimpinan perdana menteri.

    Naib Ketua AMK, Nabil Halimi berkata, pembentukan kerajaan Perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan terbesar turut melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan, dan beberapa ahli Parlimen bebas selain BN adalah atas titah Yang di-Pertuan Agong demi mencapai kestabilan politik negara.

    Nabil Halimi

    Sehubungan itu, dia menyelar sikap Akmal yang didakwa sengaja tidak mahu memahami latar belakang pembentukan kerajaan berkenaan.

    "Saya hairan mengapa Akmal gagal faham? Lupa Akmal sengaja buat tidak faham kerana dia memang parasit dalam kerajaan Perpaduan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Nabil turut mencabar seluruh ahli Parlimen Umno untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sekiranya parti itu merasakan kehadiran mereka tidak lagi dihargai dalam pentadbiran semasa.

    "Akmal tidak perlu mengugut PMX (Anwar) untuk buang semua ahli parlimen Umno sekarang. Jika Umno sudah merasakan tidak dihargai, tiada hati dalam kerajaan Perpaduan serta tidak percaya kepada kepemimpinan PMX, saya mencabar seluruh wakil rakyat Umno, sendiri mengusulkan undi tidak percaya kepada Anwar di Dewan Rakyat yang akan bersidang.

    MENARIK:  Jika PRK diteruskan, PAS berisiko kalah di dua DUN - bekas pegawai Muhyiddin

    "Amacam boleh? Kalau tidak, teruskan hanya menjadi ikon kaki ugut negara seperti budak mengamuk tidak mendapat mainan," katanya.

    Akmal Saleh

    Kenyataan balas AMK ini hadir bagi menyokong penjelasan yang dibuat oleh Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim Isnin lalu mengenai dinamika serta latar belakang pembentukan kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Sebelum itu, Akmal berkata, pucuk kepemimpinan PKR sendiri hadir ke sebuah hotel di Kuala Lumpur bagi bertemu kepemimpinan Umno untuk mendapatkan sokongan dalam usaha menubuhkan kerajaan bersama.

    "Mungkin kamu terlupa atau buat-buat lupa mengenai apa yang berlaku ketika penubuhan kerajaan Perpaduan dahulu.

    "Mungkin kamu terlupa atau buat-buat lupa pemimpin parti kamu datang ke Seri Pacific berjumpa dengan kepemimpinan Umno ketika itu untuk menubuhkan kerajaan bersama," katanya.

    Adun Merlimau itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kamil yang mendakwa Ahmad Zahid bersikap angkuh apabila mengingatkan mengenai perananan BN dalam pembentukan kerajaan Perpaduan.

    Pada masa sama, Akmal turut mencabar supaya Anwar menyingkirkan semua ahli Parlimen Umno dalam jawatan kerajaan sekiranya benar BN dianggap tidak mempunyai perananan dalam kerajaan Perpaduan.

    Dewan Rakyat dijadualkan bersidang semula pada 22 Jun ini, sekali gus membuka peluang terhadap cabaran undi tidak percaya ini dilontarkan secara terbuka oleh kedua-dua pihak itu.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah