29 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 9, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Umno, PAS dan Hamzah: Formula baru pasca-PRU16

    Shopee Sale

    Umno/BN bekerjasama dalam PRN Sabah kerana kekuatan mereka di negeri itu tidak setanding dengan parti-parti tempatan seperti GRS yang lebih dominan di peringkat akar umbi dan struktur negeri.

    Sebaliknya, Umno/BN memilih untuk bergerak secara lebih autonomi di PRN Johor berdasarkan kedudukan mereka yang jauh lebih kukuh di negeri tersebut berbanding Sabah.

    PRN Johor dilihat sebagai medan utama Umno untuk membina semula momentum politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.

    Sasaran Umno cukup jelas. Sekiranya momentum di Johor berjaya diterjemahkan kepada kemenangan yang meyakinkan, ia berpotensi merebak ke Negeri Sembilan dan Melaka, sekali gus membuka ruang untuk Umno memasuki PRU16 dalam keadaan lebih kuat dan berupaya menambah jumlah kerusi Parlimen.

    Momentum di tiga negeri ini amat penting. Dengan gelombang tersebut, Umno berpeluang meningkatkan jumlah kerusinya dan kembali menghampiri pengaruh yang dimiliki DAP di Parlimen.

    Namun, kejayaan misi Umno turut bergantung kepada parti pembangkang lain, khususnya PAS.

    Jika PAS berjaya mengekalkan sekitar 41 kerusi sedia ada, manakala Umno mampu meningkatkan pencapaiannya sehingga menghampiri angka 30 kerusi, maka dua parti terbesar Melayu itu berpotensi menguasai sekitar 70 hingga 80 kerusi Parlimen sebelum mengambil kira sokongan GPS dan GRS.

    Dalam masa yang sama, hubungan Umno dengan Bersatu dilihat sukar dipulihkan atas faktor Muhyiddin itu sendiri. Rekod politik lalu menunjukkan bagaimana kedudukan Muhyiddin begitu lemah sehingga menyebabkan beliau begitu kehilangan kuasa pada 2022.

    MENARIK:  ULASAN | Mengapa tiada kampung tradisi Melayu diwartakan?

    Dalam naratif ini, Bersatu berdepan risiko menjadi parti yang semakin mengecil apabila sebahagian pengundi mula mencari alternatif baharu. IPR yang cuba dibangunkan juga berpotensi berdepan persaingan sengit daripada parti Bersama pimpinan Rafizi Ramli yang dilihat mempunyai tarikan tersendiri dalam kalangan pengundi bandar.

    Naratif ini menjadi lebih kuat sekiranya wadah politik baharu pimpinan Hamzah Zainudin berjaya menguasai sebahagian besar daripada 19 kerusi yang kini bersama beliau, manakala Bersama pula berjaya menembusi beberapa kerusi PKR dan DAP.

    Jika senario itu berlaku, sebuah jajaran politik baharu boleh muncul dengan dukungan Umno, PAS, parti Hamzah, Bersama, GPS dan GRS untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

    Jika penjajaran semula politik ini menjadi kenyataan, Malaysia berpotensi memasuki era politik baharu yang didominasi oleh paksi Umno-PAS bersama generasi kepimpinan baharu. Ketika itu, agenda ‘Reset’ tidak lagi sekadar slogan, tetapi berpotensi menjadi realiti politik negara.


    MAHDZIR IBRAHIM, bekas anggota Bersatu dan DAP yang memperkenalkan dirinya sebagai “Narator Politik Melayu”.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah