Misteri seorang wanita warga Thailand yang hilang selama seminggu terungkai selepas mayatnya ditemukan di dalam sebuah beg pakaian yang disimpan dalam peti sejuk di sebuah pejabat di Taichung, Taiwan.
Artikel Berkaitan: Setahun Hilang, Jumpa Semula Tinggal Rangka…Gadis 18 Tahun Dipercayai Dibunuh
Punca ajak putus cinta

Mangsa dikenal pasti sebagai Duangpon Arthan, yang dipercayai berasal dari Nakhon Ratchasima, Thailand.
Menurut laporan Bangkok Post yang memetik Channel News Asia (CNA) dan Taipei Times, teman lelaki mangsa dikenali sebagai Wu, 43, telah ditahan sebelum didakwa atas kesalahan membunuh.
Duangpon dilaporkan tiba di Taiwan pada 2 September lalu sebelum bertemu suspek di sebuah hotel berhampiran Ximending, Taipei pada 12 September.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Wu dilihat meninggalkan hotel berkenaan pada keesokan harinya sambil membawa sebuah beg pakaian berukuran besar.
Mangsa selepas itu dilaporkan tidak lagi dapat dihubungi, sekali gus mendorong pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap kehilangan wanita terbabit.
Polis kemudian menjejaki pergerakan Wu menerusi rakaman kamera keselamatan sebelum menahannya pada Sabtu.
Dalam soal siasatan, suspek didakwa memberitahu polis bahawa mangsa mahu mengakhiri hubungan mereka sebelum kedua-duanya terbabit dalam pertengkaran.
Wu didakwa mengaku hilang kawalan lalu mencekik mangsa sehingga meninggal dunia sebelum memasukkan mayat wanita berkenaan ke dalam beg pakaian.
Beg tersebut kemudiannya dibawa ke pejabat suspek di Taichung dan disimpan di dalam peti sejuk di premis berkenaan selama kira-kira seminggu.
Hubungan antara mangsa dan suspek dipercayai terjalin sejak kira-kira setahun lalu selepas mereka berkenalan ketika Wu berkunjung ke Thailand.
Siasatan lanjut berhubung kes tersebut masih dijalankan oleh pihak berkuasa Taiwan.
Sumber: Bangkok Post
The post Wanita Dibun*h Kekasih Selepas Minta Putus, Mayat Disimpan Dalam Peti Sejuk first appeared on OHBULAN!.





