Pelakon, Kamal Adli berharap agar urusannya untuk bertemu dan meluangkan masa bersama anaknya, Hawra Uqaira menjadi lebih mudah selepas dia dan bekas isteri, Uqasha Senrose sah bercerai.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Mahu Move On, Tiada Istillah Rujuk’ – Uqasha Senrose Doakan Kamal Jadi Insan Bertanggungjawab
Rindu luang masa dengan Hawra

Kamal, 40, berkata, sebelum ini dia berdepan kesukaran untuk berjumpa dengan anaknya selain masa yang diluangkan bersama amat terhad.
Saya harap selepas ini lebih senang untuk berjumpa dengan Hawra. Sebelum ini memang agak susah juga untuk jumpa dia. Sebenarnya sudah lama saya tak luangkan masa dengan Hawra.
Dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini, saya rasa hanya sempat berjumpa dengan Hawra lima kali sahaja. Jadi saya harap selepas ini semuanya dipermudahkan untuk saya jumpa dan meluangkan masa dengan anak.
Dalam masa sama, pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu turut meminta orang ramai agar tidak meninggalkan komen negatif atau mengecam bekas isterinya susulan perceraian mereka.
Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan saya dari awal. Cuma saya nak pesan, tolong jangan tulis komen yang buruk tentang Uqasha. Tolong jangan kecam dia.
Saya sudah cuba yang terbaik. Dari awal lagi saya cuba mempertahankan rumah tangga kami, tetapi jika Allah sudah tetapkan sampai di sini, saya terima.
Terdahulu, Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada jam 12.56 tengah hari Isnin.
Lafaz cerai dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Puan Siti Noraini Mohd Ali selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Uqasha mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Untuk rekod, Uqasha memfailkan permohonan perceraian terhadap Kamal pada 1 Oktober tahun lalu atas alasan tiada persefahaman.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang selepas lima bulan bertunang.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang dilahirkan pada 27 April 2024.
The post ‘Tolong Jangan Tulis Komen Buruk & Kecam Uqasha’ – Kamal Adli first appeared on OHBULAN!.





