Setiap kali tibanya Aidilfitri, ramai yang teruja dengan tradisi ziarah-menziarahi, rumah terbuka dan berkumpul bersama keluarga besar. Namun, tidak semua merasai perkara yang sama.
Artikel Berkaitan: ‘Aku Alami Anxiety Yang Agak Teruk’ – Asfan Shah
Anxiety musim raya

Bagi individu yang mempunyai anxiety, khususnya kebimbangan sosial, suasana yang terlalu ramai orang boleh menjadi sesuatu yang mencabar dari segi emosi dan mental.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Behaviour Research and Therapy, individu dengan kebimbangan sosial sering menunjukkan kecenderungan untuk mengelak situasi sosial yang melibatkan ramai orang.
Malah, mereka sering merasakan seolah-olah semua mata tertumpu kepada diri mereka, walaupun hakikatnya tidak.
Keadaan ini menyebabkan situasi seperti rumah terbuka, kenduri atau kunjungan raya menjadi sangat memenatkan kerana mereka perlu sentiasa ‘berjaga-jaga’ terhadap persepsi orang lain.
Walaupun mencabar, itu tidak bermakna penghidap anxiety perlu mengasingkan diri sepenuhnya daripada suasana raya. Sebaliknya, ada beberapa cara yang boleh membantu mereka menyesuaikan diri.
Pertama, mereka perlu memilih persekitaran yang lebih kecil. Interaksi dalam kumpulan kecil lebih mudah dikawal dan kurang memberi tekanan berbanding suasana yang terlalu sesak.
Selain itu, boleh juga menghadkan tempoh atau durasi ziarah. Tidak salah untuk hadir seketika sahaja. Datang, bertegur sapa, kemudian pulang apabila sudah mula rasa penat.
Mereka juga boleh mencari ruang rehat sendiri. Jika berada di rumah orang lain, cari sudut yang lebih tenang untuk ‘cool down’ seketika.
Dalam pada itu, golongan tersebut juga boleh mempraktikkan cara berinteraksi dengan ahli keluarga atau rakan rapat kerana lebih membantu daripada cuba melayan semua orang dalam satu masa.
Hakikatnya, tidak semua orang mempunyai kapasiti sosial yang sama. Ada yang seronok berada dalam keramaian dan ada juga yang cepat penat secara emosi.
Seperti yang sering dikongsikan pakar, memahami had diri sendiri adalah kunci utama dalam menguruskan anxiety termasuk ketika musim perayaan.
Jadi, jika ada kenalan atau ahli keluarga yang kelihatan ‘menyendiri’ ketika beraya, mungkin mereka bukan tidak mahu bergaul, tetapi sedang berusaha untuk mengawal emosi dengan cara terbaik.
Sumber: Science Direct, PMC, Berita RTM
The post Tips Untuk Penghidap Anxiety Ketika Beraya! Hadkan Tempoh Ziarah & Kurangkan Layan Ramai Orang first appeared on OHBULAN!.





