Gangguan pengumpulan barang atau ‘hoarding disorder’ merupakan keadaan kesihatan mental di mana seseorang menyimpan barangan secara berlebihan sehingga menjejaskan ruang, rutin harian dan keselamatan di rumah.
Artikel Berkaitan: Sophia Albarakbah Buat Laporan Polis, Alami Tekanan Emosi Serius – ‘Dia Terima Komen Berunsur Lucah & Menjijikkan’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Pempengaruh Dakwa ‘Cat Lover’ Ada Masalah Mental, Ustaz Azhar Idrus Kongsi Kisah Nabi Muhammad & Abdul Rahman
Gangguan mental

Individu dengan gangguan ini sering berdepan kebimbangan apabila mahu membuang barangan, dan jika tidak ditangani, ia boleh menjejaskan kehidupan harian serta hubungan dengan orang sekeliling.
Hal ini kerana, mereka berasa tertekan untuk melupuskan sesuatu walaupun barangan tersebut sudah rosak atau tidak lagi diperlukan.
Naib Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Dr Shazli Ezzat Ghazali, menyatakan keadaan ini diklasifikasikan sebagai salah satu gangguan kesihatan mental.
Ia kerap berlaku seiring dengan ‘Obsessive-Compulsive Disorder ‘ (OCD), dipengaruhi keterikatan emosi terhadap barang tertentu, atau tercetus akibat kecenderungan genetik yang diwarisi dalam keluarga.
Sesetengah individu masih bergelut dalam menyingkirkan barangan lama yang menimbun di kediaman mereka, hingga keadaan rumah menjadi berselerak, sempit, berhabuk dan menjejaskan keselesaan ahli keluarga lain.
Lebih memburukkan, kebanyakan barangan tersebut sebenarnya tidak lagi mempunyai nilai atau fungsi kepada pemiliknya.
Namun, masalah ini masih kurang diberi perhatian di Malaysia kerana ramai menganggapnya sekadar ciri peribadi seseorang dan bukan satu bentuk gangguan yang memerlukan pemahaman serta kesedaran lebih serius.
Perlukan terapi

Pendekatan yang boleh diambil bagi merawat masalah ini lazimnya melibatkan gabungan terapi tingkah laku kognitif serta penggunaan ubat, bergantung pada tahap simptom yang dialami.
Ubat hanya digunakan apabila individu mengalami kebimbangan yang terlalu tinggi sehingga menjejaskan rutin harian.
Melalui kaedah terapi ini, individu dibimbing untuk melepaskan barangan yang tidak diperlukan secara berperingkat sambil belajar mengawal tekanan dan mengurangkan keinginan untuk terus mengumpul barangan.
Pendekatan ini turut memupuk tabiat serta gaya hidup yang lebih sistematik dan teratur, sekali gus membantu mereka membuat keputusan dengan lebih tenang.
Sumber: Jiwa Damai
The post Tabiat Suka Simpan & Sayang Nak Buang Barang Lama? Ini Punca & Cara Rawatan ‘Hoarding Disoder’ first appeared on OHBULAN!.





