
Seorang lelaki yang mengaku sebagai suami kepada akters Korea Selatan, Kim Sae Ron mengeluarkan satu kenyataan melalui Garo Sero Research Institute mengenai mendiang isterinya.
Suami Kim Sae Ron

Menerusi kenyataan itu, individu ini menafikan dakwaan sebelum ini mengenai serangan dan tuduhan yang dibuat oleh YouTuber Lee Jin Ho dan bekas teman lelaki Kim Sae Ron. Dia juga memuat naik gambar sijil perkahwinan mereka sebagai bukti dia dan aktres itu sudah sah bergelar suami isteri.
Helo, saya suami kepada mendiang Kim Sae Ron. Saya tertanya-tanya sama ada saya patut bersuara kerana saya masih dalam kesedihan dan belum dapat keluar dari perasaan saya sendiri. Saya juga tertanya-tanya sama ada saya akan menyebabkan lebih banyak kesulitan kepada Sae Ron dan keluarganya yang sedang berduka.
Walaupun saya telah mempertimbangkan perkara ini berkali-kali, terlalu banyak fakta yang diputarbelitkan oleh beberapa pihak. Saya membuat keputusan untuk bersuara kerana fitnah terhadap mendiang semakin teruk, dan saya ingin meluruskan fakta yang sebenar.
Suami Kim Sae Ron menyatakan bahahwa dia dan aktres itu bertemu sekitar pertengahan hingga akhir November 2024, melalui kenalan mereka. Meskipun tempoh berkenalan agak singkat, mereka membuat keputusan untuk berkahwin secara sah di Amerika Syarikat pada 12 Januari 2025,
Walau bagaimanapun, mereka akhirnya bersetuju untuk berpisah kerana berdepan cabaran hubungan jarak jauh dan perbezaan personaliti.
November 2024 hingga Februari 2025, kami telah bertemu sebanyak empat kali. Tiga pertemuan terakhir berlaku apabila dia datang melawat saya di Amerika setiap bulan. Jika benar saya mengurung dan menyerangnya, mengapa Kim Sae Ron secara sukarela datang ke Amerika setiap kali?
Saya juga berasa kasihan kerana dia terpaksa melalui penerbangan yang panjang dan prosedur imigresen yang ketat di lapangan terbang. Oleh itu, saya telah melakukan yang terbaik dari segi kewangan dan emosi untuk memastikan dia berasa selesa setiap kali dia melawat Amerika.
Mereka mendakwa mempunyai gambar bukti penderaan fizikal, dan saya mendesak mereka untuk mendedahkan gambar tersebut jika benar mereka memilikinya. Jika perlu, saya bersedia untuk menjalani siasatan polis.
Nafi mendiang hamil

Suami Kim Sae Ron menafikan dakwaan bahawa dia memantau pergerakan isterinya, dengan menegaskan bahawa semua maklumat peribadi seperti kata laluan akaun media sosial dikongsi secara sukarela atas persetujuan bersama.
Sebagai pasangan yang menjalani hubungan jarak jauh, kami tidak menyekat akses kepada telefon dan media sosial masing-masing. Malah, Kim Sae Ron sering menggunakan telefon saya untuk menghubungi orang lain. Kami berkongsi kata laluan dan maklumat lain sebagai tanda kepercayaan sebagai pasangan suami isteri.
Suami Kim Sae Ron turut menegaskan bahawa isterinya tidak pernah hamil, dan dia tidak pernah memeras ugutnya untuk berkahwin atas sebab sedemikian.





