
Setelah sekian lama mendiamkan diri, madu kepada penyanyi Datuk Nora Ariffin iaitu Rose Aliza Sutrisno akhirnya membuka mulut berhubung kemelut rumah tangga mereka.
‘Kami tak paksa mereka cerai’

Menerusi hantaran di Facebook, Rose menafikan dakwaan dia dan anak merupakan punca madunya itu dan suami, Dr Rushdi Ramli bercerai.
Saya atau anak saya, Alia tidak pernah memaksa suami saya menceraikan madu saya. Keputusan yang dibuat ketika itu adalah atas pertimbangan dan kehendak suami sendiri setelah melalui apa yang berlaku.
Menjelaskan kejadian sebenar, Rose yang juga pengetua sekolah mendakwa perceraian suami dan Nora yang sebenarnya berlaku pada 2019 adalah atas kehendak dan permintaan seseorang.
Ada seorang insan yang sangat rapat dengan suami saya yang tidak perlulah saya sebutkan namanya kerana insan ini sudah tiada di dunia, telah merayu dan memohon agar suami saya menceraikan madu saya.
Hal ini dilakukannya atas sebab-sebab tertentu dan bersandarkan pengalaman hidupnya sendiri sebagai anak dalam keluarga yang berpoligami.
Suami saya akur dengan permintaan insan tersebut (Perkara ini dalam pengetahuan dan makluman madu saya) dan telah melafazkan talak di hadapan madu dan anak-anaknya termasuk arwah Alif serta dirakamkan atas permintaan insan tersebut.
Malangnya video yang sepatutnya disimpan telah dimuat naik pada 12 Ogos 2024.
Melalui hantaran sama, Rose turut menyangkal dakwaan terdapat panggilan telefon daripadanya atau sesiapa selepas solat Subuh yang memaksa suaminya menceraikan penyanyi itu, seperti yang tersebar di media sosial.
‘Saya tidak lari dari khilaf’

Dalam pada itu, Rose menjelaskan mengenai hantarannya sebelum ini adalah coretan selepas mendapat tahu suaminya sudah setahun berkahwin dengan Nora tanpa pengetahuannya.
Saya juga sedar sebagai manusia biasa, saya tidak lari dari khilaf. Atas kesedaran itu, saya telah pun membuat permohonan maaf kepada madu saya secara peribadi melalui pesanan whatsapp pada 1 Ogos 2021.
Segala yang berlaku antara kami ketika itu saya anggap sudah selesai secara baik.
Rose turut menjelaskan berhubung hantaran anak perempuannya, Alia di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi.
Saya tidak nafikan bahawa tulisannya kepada madu saya yang ditulis pada tahun 2020 agak keterlaluan. Hakikatnya, tulisan itu lahir daripada rasa jengkel dan kecewa seorang anak yang masih kurang matang apabila mengetahui ayahnya telah berkahwin lagi tanpa pengetahuan kami sekeluarga.
Tulisan itu sebenarnya telah lama dipadam dan Alia sendiri, dengan penuh kesedaran dan keinsafan bahawa tulisan sedemikian adalah tidak baik. Alia telah memohon maaf secara peribadi kepada madu saya pada bulan September 2020.
Namun, amat saya kesali apabila tulisan lama yang telahpun dipadam itu dikitar semula oleh madu saya pada tahun 2025.
Terdahulu, Nora membuat kejutan apabila berkongsi foto papan tanda Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat beserta kenyataan mengenai permohonan cerai kepada suaminya bukan atas kerelaannya sendiri.
Sebaliknya dalam hantaran terbaharu di Instagram, penyanyi Di Persimpangan Dilema itu mendakwa keputusan itu dibuat bagi menunaikan hajat isteri pertama suaminya serta desakan daripada anak mereka.





