Pelakon Sophia Albarakbah memaklumkan akan ke pejabat Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memberi kenyataan selepas menjadi mangsa buli siber dan gangguan seksual di media sosial.
‘Sekarang barulah rasa lega’

Ketika ditemui , Sophia atau nama lengkapnya Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 32, menjelaskan bahawa tindakannya membuat laporan polis adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahayanya buli siber.
Sekarang barulah ada rasa lega sedikit.
Saya buat perkara ini bukan untuk diri sendiri tetapi untuk semua orang, terutamanya rakan selebriti, sebab saya rasa golongan ini kerap jadi mangsa buli siber.
Ramai yang berdepan dengan buli siber dan gangguan seksual tetapi mereka tak berani nak suarakan.
Sophia berkata demikian ketika ditemui di majlis Pengenalan Duta Baharu Amber yang berlangsung di Hotel Shangri-La pada Selasa.
Buli siber

Tambah pelakon filem Ada Hantu 2 itu lagi, perkara sebegini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh kerana ianya boleh membuatkan mangsa berdepan tekanan emosi yang teruk.
Perkara ini bukan sesuatu yang patut dinormalisasikan dan diambil ringan, apatah lagi sekarang kecoh isu adik Zara. Buli boleh akibatkan kematian.
Kes kematian akibat bunuh diri disebabkan buli siber sangat tinggi seperti di Korea Selatan. Syukur negara kita tak begitu, tapi kes seperti itu memang wujud.
Selepas saya tunjuk bukti di Instagram sebab ada yang kata saya mengada-ngada sampai buat laporan polis, barulah mereka faham. Mungkin sebelum ini mereka tak tahu, jadi saya perlu beri kesedaran tentang apa yang berlaku.
Lepas saya dedah bukti, semua orang faham perkara yang jadi ini memang sangat melampau.
Dalam pada itu, Sophia memaklumkan dia turut menerima mesej daripada rakan selebriti yang berdepan situasi sama apabila pernah menjadi mangsa buli siber dan gangguan seksual di media sosial.
Saya rasa ramai rakan selebriti lain turut jadi mangsa, sebab itu ramai yang beri sokongan pada saya.
Ada yang mesej dan saya rasa mereka faham apa yang saya lalui. Jadi saya nak ucapkan terima kasih kepada mereka kerana prihatin dengan apa yang jadi.
Sebelum ini, Sophia membuat laporan polis di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur selepas menerima kecaman melampau termasuk mesej berbaur lucah di media sosial.
The post Sophia Albarakbah Tak Bagi Muka Kepada Buli Siber, Akan Ke SKMM Beri Kenyataan first appeared on OHBULAN!.





