Pernah menjadi fenomena dan merupakan filem terunggul pada era 90-an, Sembilu kini kembali dengan sebuah persembahan mega menerusi Sembilu The Reunion Live In Concert.
Ia bakal membawakan tiga karakter ikonik karya berkenaan iaitu Datuk Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Saya Sentiasa Doakan Mereka Berjaya Dunia Akhirat’ – Awie
Artikel Berkaitan: ‘Saya Harap Perkahwinan Ini Penutup Terindah’ – Erra Fazira
Kenangan takkan dilupakan

Peminat pastinya akan dibawa menyelurusi kembali kenangan dan nostalgia zaman percintaan di konsert ini yang dijadualkan bakal berlangsung pada 7 Februari 2026, bertempat di Axiata Arena, Kuala Lumpur.
Menurut Awie, konsert ini disifatkan sebagai satu penghargaan bermakna buatnya kerana dapat berkongsi rasa gembira bersama peminat.
Sembilu ialah satu perjalanan emosi yang besar dalam hidup saya. Dapat menyanyikan semua lagu bersama penonton yang membesar dengan karya ini adalah satu penghargaan yang sangat besar.
Bagi primadona filem alaf baru itu pula, dia yakin bahawa konsert ini dapat menyingkap kembali memori peminat yang menonton filem tersebut.
Saya percaya ramai yang masih menyimpan memori dengan filem dan lagu-lagu Sembilu. Konsert ini seakan memberi peluang kepada kita untuk kembali membuka album kenangan itu.
Sementara itu, Ziana pula meluahkan rasa teruja dan menghitung hari untuk mempersembahkan nyanyiannya yang mantap di konsert ini.
Lagu-lagu yang pernah saya nyanyikan dalam era Sembilu membawa jiwa yang tersendiri. Saya tak sabar untuk menghidupkan semula magis itu di pentas.
Pada malam penuh indah itu, dijangkakan sebanyak 22 buah lagu yang akan disampaikan oleh tiga nama besar industri hiburan tersebut. Setiap nyanyian mereka akan diiringi oleh maestro muzik tersohor iaitu Aubrey Suwito.
Bukan itu sahaja, elemen kreatif juga bakal disuntik pada konsert itu dengan menampilkan dekorasi pentas berskala besar, visual dramatik, pencahayaan artistik serta elemen penceritaan yang dinspirasi daripada babak-babak ikonik filem Sembilu.
Kekuatan Sembilu
View this post on Instagram
Konsert berskala besar ini adalah anjuran Ideatelier iaitu di bawah naungan pereka fesyen terkemuka Ezuwan Ismail. Ia merupakan sebuah syarikat produksi yang kian dikenali melalui penganjuran acara seni dan persembahan berkualiti tinggi.
Menurut Ezuwan, Sembilu bukan sekadar filem, tetapi ia adalah karya besar yang mengubah landskap hiburan negara.
Saya mencadangkan konsert ini kerana saya mahu generasi baharu merasai keindahan karya yang pernah menjadi nadi masyarakat kita, dan dalam masa sama memberi ruang kepada peminat lama untuk menghidupkan kembali memori mereka.
Dalam masa yang sama, Ezuwan berkata, objektif konsert ini adalah menyatukan peminat lama dan baharu bagi meraikan nostalgia, seni suara serta kekuatan penceritaan muzik pada kegemilangan era 90-an.
Harga tiket

Jangan lepaskan peluang anda untuk mendapatkan tiket Sembilu The Reunion Live In Concert. Berikut adalah senarai harga mengikut kategori:
-Zon Sembilu: RM1389
-Zon Di Ambang Wati: RM689
-Zon Anggapanmu : RM489
-Zon Cinta Abadi: RM349
-Zon Halaman Asmara: RM289
-Zon Tragedi Oktober: RM249
-Zon Pasrah: RM149
Tiket akan mula dijual pada Isnin, 8 Disember 2025 melalui platform http://www.ticket2u.com.my/sembilu bermula jam 12 tengah hari.
The post ‘Sembilu The Reunion Live In Concert’ Bawa Awie, Erra Fazira & Ziana Zain Kembali Hidupkan Nostalgia Ikonik first appeared on OHBULAN!.





