Dalam dunia hiburan, satu watak atau penampilan yang benar-benar meninggalkan kesan boleh menjadi hadiah terbesar buat seseorang artis. Namun, kejayaan itu juga boleh membuatkan mereka terus dikaitkan dengan imej yang sama selama bertahun-tahun.
Walaupun sudah mencuba pelbagai watak, meneroka bidang baharu atau membawa muzik yang lebih matang, peminat tetap mempunyai versi tertentu yang paling mereka rindukan. Ada yang masih dipanggil menggunakan nama watak lama, manakala ada pula yang sentiasa diminta mengulang kembali lagu atau gaya yang pernah menaikkan nama mereka.
Ia bukan bermaksud mereka gagal berkembang. Sebaliknya, imej lama itu terlalu kuat sehingga menjadi sebahagian daripada budaya popular tempatan.
Artikel Berkaitan: ‘Sembilu The Reunion Live In Concert’ Bawa Awie, Erra Fazira & Ziana Zain Kembali Hidupkan Nostalgia Ikonik
Artikel Berkaitan: Maya Karin Tak Sangka Watak Duyung & Pontianak Beri Impak Besar – ‘Sampai Sekarang Orang Masih Ingat’
1. Maya Karin masih menjadi ‘pontianak’ kegemaran ramai
Maya Karin sudah membintangi pelbagai filem besar dengan watak yang jauh berbeza, termasuk Ombak Rindu, Anak Halal dan Munafik 2. Namun, apabila namanya disebut, ramai masih teringatkan wajahnya sebagai Meriam dan Maria dalam Pontianak Harum Sundal Malam.
Filem arahan Shuhaimi Baba yang ditayangkan pada 2004 itu berjaya memberikan gambaran baharu terhadap watak pontianak. Maya bukan sekadar muncul menyeramkan, malah membawa karakter yang mempunyai kisah cinta, dendam dan sisi emosinya sendiri.
Kekuatan watak tersebut dapat dilihat apabila khabar mengenai kemungkinan kesinambungan filem itu masih mencetuskan perhatian bertahun-tahun kemudian. Walaupun sudah membuktikan kemampuan menerusi pelbagai genre, imej Maya sebagai pontianak masih sukar digantikan oleh pelakon lain.
real #mayakarin #pontianakharumsundalmalam #horror
♬ Salvatore – 𝐸𝑚𝑚𝑎’𝑠 𝑎𝑢𝑑𝑖𝑜𝑠
2. Shaheizy Sam tetap diingati sebelum Adnan Sempit
Shaheizy Sam sudah pun membintangi beberapa filem seperti Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam dan Evolusi KL Drift 2. Namun, karakter Adnan yang lucu, selamba dan obses dengan dunia permotoran membuatkan namanya melonjak lebih tinggi.
Populariti filem pertama kemudiannya melahirkan beberapa kesinambungan, sekali gus menjadikan Adnan antara watak komedi paling sinonim dengan Sam.
Hakikatnya, Sam sudah lama keluar daripada zon tersebut. Dia membawa watak lebih berat dalam Songlap, menjadi Inspektor Khai dalam francais Polis Evo dan terus bereksperimen dengan perubahan fizikal untuk filem lain.
Malah, ketika membincangkan wataknya dalam filem Badak, Sam, menjelaskan dia mahu penonton melupakan karakter lamanya seperti Adnan dan Inspektor Khai. Namun, semakin dia cuba berubah, semakin jelas betapa kuatnya watak-watak terdahulu melekat dalam ingatan penonton.ebagai Adnan Sempit.
3. Zizan Razak sukar dipisahkan daripada imej pelawak
Zizan Razak mula dikenali secara meluas selepas muncul sebagai naib juara program Raja Lawak pada 2007. Sejak itu, nama “Zizan Raja Lawak” terus melekat walaupun kerjayanya sudah berkembang jauh melangkaui pentas komedi.
Dia pernah membintangi filem aksi, seram, muzikal dan fiksyen sains, termasuk KL Gangster, KL Zombi, Cicakman 3 serta francais Abang Long Fadil. Selain berlakon, Zizan juga terlibat dalam muzik, pengacaraan dan penerbitan.
Namun, setiap kali Zizan muncul, penonton tetap menunggu jenaka spontan, ekspresi wajah dan gaya percakapannya yang tersendiri. Walaupun membawa watak serius atau aksi, unsur komedi masih dianggap sebagai identiti utamanya.
Imej tersebut bukan kelemahan. Ia membuktikan Zizan berjaya membina personaliti yang begitu kuat sehingga sukar dipisahkan daripada dirinya.
4. Siti Saleha masih menjadi Nora Elena di mata peminat
Drama Nora Elena yang ditayangkan pada 2011 menjadi antara karya yang benar-benar memperkenalkan Siti Saleha kepada penonton arus perdana. Gandingannya bersama Aaron Aziz menjadikan drama tersebut fenomena, manakala nama Nora Elena terus dikaitkan dengannya sehingga hari ini.
Namun, perjalanan lakonan Siti Saleha tidak terhenti sebagai heroin drama romantik. Dia terus mencuba watak dan produksi yang berbeza, termasuk menerusi siri SeOfis.
Kemampuannya mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila dia menerima anugerah Outstanding Asian Star di Seoul International Drama Awards 2024. Pencapaian tersebut menunjukkan bahawa Siti Saleha sudah berkembang jauh daripada imej heroin drama Melayu yang pernah menaikkan namanya.
Bagaimanapun, bagi penonton yang membesar dengan drama televisyen era 2010-an, Siti Saleha mungkin akan sentiasa menjadi Nora Elena.
5. Erra Fazira kekal sebagai Primadona era ‘Sembilu’
Erra Fazira mempunyai perjalanan kerjaya yang panjang sebagai pelakon, penyanyi, model, pengacara dan penerbit. Sebelum bergelar bintang filem, dia terlebih dahulu dinobatkan sebagai Miss Malaysia World 1992.
Namun, filem Sembilu pada 1994 menjadi karya yang benar-benar membentuk imej Erra sebagai primadona filem Melayu. Gandingannya bersama Awie, ditambah dengan lagu dan kisah cinta yang dekat dengan penonton, menjadikan filem itu sebahagian daripada nostalgia hiburan tempatan.
Erra kemudiannya membuktikan kemampuan menerusi filem seperti Maria Mariana, Soal Hati dan Hingga Hujung Nyawa. Dia juga terus aktif dalam bidang pengacaraan dan program hiburan.
Walaupun sudah lebih tiga dekad berlalu, minat terhadap dunia Sembilu masih belum hilang. Pengumuman konsert reuni yang menghimpunkan Erra, Awie dan Ziana Zain membuktikan karya tersebut masih mempunyai tempat istimewa dalam hati peminat.
Siapa ingat scene ni? Erra Fazira dengan Ziana Zain, dua bintang besar yang dalam Sembilu. Scene bukan biasa-biasa, terus rasa tegang sampai kita yang tengok pun terikut sama emosi! Jom kita sama-sama tengok Wayang Pacak filem Sembilu pada Sabtu ini, di Kompleks Futsal, Presint 18 Putrajaya, jam 3:00 petang! #Kool101 #SemasaDanSosial #MuzikYangFamiliar #PakNildiKool101 #PagiOnPoint #WayangPacak
♬ original sound – Kool 101 – koolfmmy
The post Sekali Melekat, Susah Dilupakan! 5 Watak Ikonik Selebriti Yang Masih Hidup Dalam Ingatan first appeared on OHBULAN!.