
Pelakon terkenal, Datin Seri Umie Aida mendedahkan bahawa dia sentiasa berusaha menjaga batas ketika berlakon dengan rakan gandingan, terutama dalam adegan yang melibatkan pelakon lelaki.
‘Kalau secara tak sengaja itu lain lah’

Ketika ditemui , Umie atau nama lengkapnya Umi Khalsum Rahmad Ali, 51, berkata, ketika menjalani penggambaran drama Keluarga Itu, dia dan pelakon Rosyam Nor masing-masing berada dalam keadaan berwuduk bagi membataskan sentuhan secara langsung.
Tidak hanya untuk drama tersebut, Umie turut berkongsi bahawa dia telah mengamalkan rutin berwuduk setiap kali berada di set penggambaran sejak beberapa tahun lalu.
Sejak beberapa tahun lepas, berwuduk antara rutin yang saya selalu terapkan setiap kali berlakon. Bila ada babak dengan Fattah Amin pun (Keluarga Itu), sama juga iaitu saya dalam keadaan menjaga wuduk.
Itu antara cara untuk elakkan bersentuhan, kalau secara tak sengaja itu lain lah.
Umie berkata demikian ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama pelakon drama Keluarga Itu di Shah Alam, pada Rabu.
Bagi Umie, amalan ini bukan sahaja membantunya menjaga batas pergaulan, tetapi juga memastikan dirinya sentiasa dalam keadaan bersih sekurang-kurangnya sehingga waktu Asar atau Maghrib.
Tapi memang betul pun, kalau kita berwuduk, kita akan jaga batas dan jarak sekurang-kurangnya sehingga waktu Asar atau Maghrib.
Pendekatan Umie ini mendapat pujian ramai, terutama dalam industri hiburan yang sering berdepan cabaran dalam menjaga batas pergaulan di set penggambaran.





