Usahawan dan pempengaruh terkenal, Anas Zahrin meluahkan rasa syukur apabila jenama kosmetik miliknya, ANAS Cosmetics berjaya mencatat jualan sebanyak RM1.3 juta menerusi acara TikTok Shop Creator ICON All Star 11.11 Showdown, pada Selasa.
Lebih membanggakan, kejayaan itu turut melayakkan Anas membawa pulang dua anugerah iaitu Top All Star Creator dan RM1 Million Milestones.
Artikel Berkaitan: Jual 1 juta Lipmatte Cosmetics, Anas Zahrin Sumbang RM50,000 Untuk Rakyat Palestin
Artikel Berkaitan: Anas Zahrin: ‘Bukan Saya Yang Hebat’, Jenama Kosmetik Kekal Nombor Satu TikTok Shop
’13 juta unit produk’ – Anas Zahrin

Menurut Anas, pencapaian tersebut diraih menerusi sesi siaran langsung selama 11 jam tanpa henti yang membabitkan lebih 13 juta unit produk.
Jualan itu membabitkan lebih 13 juta unit produk saya seperti lipmatte, pembayang mata, pelembap bibir dan minyak wangi. Ia sekali gus menjadikan jenama milik saya kekal di tangga teratas.
Sesi jualan itu membabitkan harga tidak masuk akal, bermula serendah RM1.11 hingga harga kombo mega RM18.90 untuk lapan jenis barangan.
Saya juga beruntung kerana sesi jualan langsung sepanjang 11 jam itu turut dibantu hos siaran langsung seperti Ashhry Atan, Fara Dina, Ann Zaira dan Yulia.
Tidak dilupakan pasukan kerja di belakang tabir ANAS Cosmetics. Terima kasih kerana turut serta memeriahkan acara ini.
Acara berkenaan turut disertai barisan selebriti dan pempengaruh terkenal tanah air termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Seri Aliff Syukri, Datuk Seri Vida, Neelofa, Fattah Amin, Amira Othman, Wawa Zainal, Nur Fazura, Diana Danielle dan Datuk Seri Alha Alfa.
Sebelum ini, ANAS Cosmetics dilaporkan berjaya mengekalkan kedudukan sebagai jenama nombor satu di TikTok Shop Malaysia dengan jualan hampir 12 juta unit.
Tak akan lupa diri

Mengulas mengenai kejayaan yang diraih, Anas berharap pencapaian tersebut tidak akan mengubah dirinya, sebaliknya menjadi peringatan untuk terus merendah diri.
Saya hanya mampu memanjatkan rasa syukur dengan setiap kejayaan yang diraih saban waktu. Semoga kejayaan ini tidak pernah mengubah diri saya ke arah yang tidak baik.
Malah, harapan saya semoga kejayaan sebegini akan sentiasa mengingatkan saya untuk berpijak di bumi nyata.
Besar harapan saya untuk melihat jenama Bumiputera milik sendiri dan jenama lain terus bersaing secara positif serta mampu menandingi jenama antarabangsa.
The post ‘Jenama Milik Saya Kekal Di Tangga Teratas’ – Anas Zahrin Raih Dua Anugerah Di TikTok Shop first appeared on OHBULAN!.





