Kumpulan muzik terkenal Indonesia, Samsons bakal menggegarkan Malaysia menerusi Konsert Samsons Live In Malaysia – Kenangan Terindah yang akan berlangsung di IDEA Live Arena, Petaling Jaya pada 9 November depan.
Artikel Berkaitan: Bams Samsons Hidap Kanser Lutut, Kini Dalam Fasa Sembuh
Hadiah buat peminat

Menurut vokalisnya, Adrian Martadinata, konsert kali ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya disusun dengan persiapan teliti bagi menghadiahkan pengalaman yang benar-benar berbeza kepada peminat.
Kami mahu penonton merasakan lebih daripada sekadar konsert muzik. Ini adalah sebuah persembahan penuh dengan pelbagai elemen yang mampu membawa peminat menelusuri perjalanan Samsons selama 22 tahun.
Setiap aspek, termasuk persediaan fizikal dan mental kami, sangat penting kerana konsert bagi kami adalah satu pengalaman menyeluruh. Kami mahu malam itu menjadi sesuatu yang istimewa buat semua.
Adrian berkata demikian ketika ditemui di sidang media pengumuman Konsert Samsons Live In Malaysia – Kenangan Terindah yang diadakan di Hard Cafe, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Selepas kali terakhir beraksi di Zepp Kuala Lumpur pada 2023, Adrian menjelaskan Samsons kini hadir dengan semangat baharu.
Mereka akan membawa konsep ‘5 elemen + 1’ yang mewakili lima album yang pernah diterbitkan sepanjang karier mereka, ditambah satu elemen mewakili album baharu bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Kesemua elemen itu kami gabungkan dengan rekaan pentas, pencahayaan serta visual khas supaya penonton dapat merasai suasana yang berbeza.
Konsert ini bukan hanya tentang mendengar muzik, tetapi tentang menyelami sebuah pengalaman emosional dan artistik.
Peminat Malaysia istimewa

Dalam pada itu, Adrian turut berkongsi rasa syukur atas sokongan berterusan daripada peminat setia, baik di Indonesia mahupun Malaysia.
Baru-baru ini, kami baru selesai menjayakan konsert di Lombok dan Sumbawa, sambutan yang kami terima di sana luar biasa.
Tetapi, bagi kami, peminat Malaysia tetap mempunyai keistimewaan tersendiri. Kehangatan mereka sejak dulu tidak pernah berubah, malah sentiasa membanggakan kami.
Sejak mula melakar nama, Samsons telah melahirkan lima album iaitu Naluri Lelaki (2005), Penantian Hidup (2007), Samsons (2009), Perihal Besar (2013) dan V (2020).
Album baharu yang bakal muncul tidak lama lagi dijangka melengkapkan perjalanan muzik mereka selepas lebih dua dekad berada di persada seni.
Dengan barisan anggota kini terdiri daripada Adrian Martadinata (vokal), Irfan Aulia (gitar), Erik Partogi Siagian (gitar) dan Aldri Dataviadi (bass), Samsons masih kekal relevan serta terus menjadi pilihan peminat merentasi generasi.
Tidak hairanlah konsert kali ini dijangka menjadi malam penuh kenangan yang dinanti-nantikan ribuan penggemar muzik mereka di Malaysia.
Untuk mendapatkan tiket Konsert Samsons Live In Malaysia – Kenangan Terindah, sila layari http://www.ticket2u.com.
The post ‘Samsons Live In Malaysia – Kenangan Terindah’ Bakal Jadi Malam Penuh Magis, Banyak Kejutan Menanti Peminat! first appeared on OHBULAN!.





