Tindakan kejam seorang lelaki terhadap wanita orang kurang upaya (OKU) membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun serta lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bharu, pada Jumaat.
Rogol wanita OKU

Memetik laporan Berita Harian, hukuman itu diputuskan oleh Hakim Madihah Zainol selepas tertuduh, R Sivanesan, 39, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapannya.
Mengikut fakta kes, lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan didapati melakukan jenayah tersebut terhadap seorang wanita berusia 29 tahun di sebuah rumah di kawasan Skudai pada penghujung Januari lalu.
Mangsa dilaporkan mempunyai kekurangan dari segi pendengaran dan pertuturan selain mengalami kesukaran pembelajaran.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 376(2)(k) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun serta sebatan jika disabitkan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Nor Fadilah Johanuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Omar Kutty Abdul Aziz.
Suspek ulang alik hospital

Ketika rayuan hukuman, pihak pembelaan memaklumkan tertuduh menyesali perbuatannya selain berdepan masalah kesihatan serius seperti HIV dan leukemia yang memerlukan rawatan berkala.
Masalah kesihatan dihidapi menyebabkan tertuduh perlu berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Tertuduh banyak membuat kerja amal di kuil dan tiada rekod jenayah lampau.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan mahkamah perlu memberi keutamaan kepada kepentingan mangsa yang merupakan individu OKU, selain mengambil kira tindakan tertuduh yang mengeksploitasi keadaan mangsa.
Berdasarkan hujahan mitigasi peguam bela yang memaklumkan tertuduh menghidap penyakit HIV, ini bermakna perbuatan tertuduh mendedahkan mangsa kepada risiko penyakit kelamin berjangkit.
Mahkamah kemudian memutuskan hukuman berkenaan sebagai pengajaran, selain mengarahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan.
Dia juga akan berada di bawah pemantauan polis selama setahun selepas selesai menjalani hukuman.
Sumber: Berita Harian
The post Pesakit HIV Mengaku Rogol Wanita OKU, Dipenjara 10 Tahun & 5 Sebatan first appeared on OHBULAN!.





