Dalam industri hiburan, penolakan mungkin menjadi antara perkara paling sukar untuk diterima, lebih-lebih lagi apabila seseorang sudah lama berusaha membuktikan kemampuan tetapi peluang yang dinanti masih belum kunjung tiba.
Bagi pelakon Ellyza Azizi, pengalaman namanya tidak terpilih untuk sesebuah projek pernah membuatkan dirinya kecewa.
Namun selepas melalui pelbagai fasa dalam kerjaya selama tujuh tahun, dia mula memahami yang setiap penolakan tidak semestinya membawa maksud dirinya tidak cukup bagus.
ARTIKEL BERKAITAN: Bila Jumlah Followers Jadi Ukuran, Ellyza Azizi Akui Pernah Rasa Tidak Cukup Layak
ARTIKEL BERKAITAN: Ellyza Azizi Tak Mahu Nama Naik Kerana Kontroversi – ‘Sekali Cerita Ada Di Internet, Akan Kekal Selamanya’
Setiap Tahun Tetap Percaya ‘This Is My Time’
Sebaliknya, ada kalanya sesuatu peluang itu memang bukan bahagian atau rezekinya pada ketika tersebut.
“Dulu memang saya agak down apabila berdepan dengan penolakan atau apabila nama tidak dipilih.
“Tapi sekarang saya belajar bahawa kita tak boleh ambil semuanya secara peribadi. Harapnya memang ada bahagian untuk semua orang.
“Kalau bukan rezeki kita, mungkin ada peluang lain yang menunggu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Pemuja Syaitan, sebentar tadi.

Saban tahun mencuba nasib menempatkan nama dalam industri seni, Ellyza tidak pernah berhenti memasuki tahun baharu dengan harapan mungkin itulah masanya untuk kerjayanya melangkah lebih jauh.
Bagaimanapun, semakin lama berada dalam industri, semakin dia sedar bukan mudah untuk menemui sebuah projek yang benar-benar mampu menjadi titik perubahan dalam perjalanan seseorang pelakon.
“Setiap tahun saya memang akan mulakan dengan fikir, ‘this is my time’.
“Tapi kita tahu bukan senang nak jumpa projek yang betul-betul menjadi projek itu. Jadi untuk setiap projek, saya sentiasa pegang kepada ‘trust the process’.
“Kalau menjadi, Alhamdulillah. Kalau tak menjadi pun, ia tidak bermaksud sudah terlambat untuk kita,” katanya.
Falsafah tersebut mungkin kedengaran ringkas, namun dalam industri yang sering mengukur seseorang menerusi populariti, angka tontonan dan perhatian di media sosial, kemampuan untuk terus percaya kepada proses bukan sesuatu yang mudah.
Ellyza sendiri tidak menafikan jumlah pengikut di media sosial pernah menjadi antara perkara yang bermain dalam fikirannya.
Menurutnya, dia tidak mempunyai angka pengikut sebesar sesetengah nama lain, namun berharap bakat dan kemampuan lakonannya akhirnya menjadi perkara utama yang dinilai.
“Saya sedar saya tak mempunyai jumlah followers yang terlalu besar. Jadi harapan saya, dengan cara saya yang cuba kekal neutral dan organik, orang akan mula melihat bakat saya berbanding angka yang saya ada,” jelasnya.
Pemuja Syaitan Buka Satu Lagi Ruang
Kini, satu lagi perjalanan baharu menanti Ellyza menerusi Pemuja Syaitan, filem seram arahan Liyana Jasmay yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 15 Oktober 2026.
Filem terbitan Mermaid Studios bersama Suraya Filem Production & Distribution dengan kerjasama Skop Productions selaku pengedar dan Primeworks Studios selaku rakan pemasaran itu menghimpunkan barisan pelakon seperti Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Nadhir Nasar dan Aila Azizul, selain Ellyza serta ramai lagi.

Pemuja Syaitan berkisar tentang sekumpulan bekas rakan sekolah yang kembali bertemu di sebuah pulau terpencil untuk mengimbau kenangan lama. Namun penemuan semula sebuah kapsul masa akhirnya membongkar rahsia yang telah lama tersimpan, sebelum pertemuan mereka berubah menjadi pengalaman penuh misteri dan kejadian mengerikan.
Dalam filem tersebut, Ellyza membawa watak Anna, seorang wanita yang sentiasa mahu diterima dalam kelompok rakannya sehingga sering mengikut sahaja kehendak orang di sekeliling.
Namun menurut Ellyza, Anna tidak semudah yang disangka kerana karakter itu turut menyimpan ‘sesuatu’ yang bakal mengubah persepsi penonton terhadapnya.
“Anna ini kawan kepada semua orang, tetapi dalam masa sama macam orang lain tak begitu mahu berkawan dengan dia kecuali Khatijah.
“Tapi sebenarnya, Anna ada cerita tersendiri. Itu yang saya rasa penonton tak akan jangka,” katanya.
Bukan Sekadar Mahu Ada Dalam Filem
Bagi Ellyza, menerima tawaran Pemuja Syaitan juga bukan semata-mata kerana mahu menambah satu lagi judul dalam portfolio.
Antara faktor utama yang membuatkannya tertarik adalah peluang untuk menyokong lebih ramai wanita yang berada di belakang tabir, khususnya Liyana yang mengarahkan filem berkenaan.
View this post on Instagram
“Saya memang suka kalau boleh menyokong female directors dan female producers, lebih-lebih lagi apabila ini filem ini menampilkan ramai pelakon wanita.
“Liyana pula memang dikenali dengan karya-karya seram ketika zaman dia muda dahulu. Jadi saya sendiri mahu tengok versi horror dan gore daripada dia. Untuk seorang wanita mengarahkan filem gore, saya memang respect,” ujarnya.
Menurut kenyataan rasmi produksi, Liyana sendiri mahu Pemuja Syaitan bergerak lebih jauh daripada sekadar elemen seram dengan mengetengahkan rahsia, pengkhianatan serta sisi gelap manusia apabila berdepan dengan perkara daripada masa lalu.
Tak Perlu Berlumba Dengan Orang Lain
Barangkali perkara terbesar yang dipelajari Ellyza sepanjang perjalanan kerjayanya adalah kejayaan tidak semestinya datang mengikut tempoh yang sama untuk semua orang.
Ada pelakon yang menemui projek besar pada awal perjalanan, manakala ada yang perlu melalui bertahun-tahun penolakan sebelum nama mula mendapat perhatian.
Bagi Ellyza, apa yang penting adalah terus bekerja dan tidak menjadikan setiap kegagalan sebagai ukuran kepada nilai diri sendiri.

Malah, dia kini turut belajar yang seorang pelakon tidak semestinya perlu menerima setiap peluang yang datang.
“Tak salah sebenarnya untuk kita kata tidak kepada sesetengah projek. Dalam masa yang sama, kita juga kena belajar menerima apabila orang kata tidak kepada kita.
“Jangan ambil terlalu peribadi. Kadang-kadang memang bukan rezeki kita,” katanya.
Selepas melalui naik turun tersebut, harapan Ellyza kini cukup mudah. Dia mahu terus berada dalam industri dan meninggalkan impak melalui kemampuan lakonannya.
Pada masa sama, dia berharap lebih ramai pelakon wanita yang datang daripada latar belakang seni persembahan dan teater sepertinya mendapat peluang untuk berada di layar perak.
Mungkin perjalanan itu belum sampai ke kemuncaknya. Kerana seperti prinsip yang dipegang Ellyza sendiri, tidak semua perjalanan perlu berlaku dengan pantas.
Kadangkala, apa yang diperlukan hanyalah terus percaya kepada proses.
The post Pernah Kecewa Kerana Ditolak, Kini Pegang Prinsip ‘Trust The Process’… Pemuja Syaitan Jadi Bab Baharu Ellyza Azizi first appeared on OHBULAN!.





