Pelakon versatil Beto Kusyairy, menyifatkan pentas teater dan drama radio antara platform terbaik untuk menimba ilmu serta meraih pelbagai pengalaman dalam membentuk pesona seorang aktor berkaliber.
Artikel Berkaitan: ‘Sediakan Payung Sebelum Hujan, Kita Tak Tahu Apa Yang Akan Berlaku’ – Beto Kusyairy
Pernah diperlekeh

Ketika ditemui , Beto atau nama lengkapnya Nur Kusyairy Zakuan Osman, 46, mendedahkan usahanya dalam pembabitan drama radio pernah diperkecilkan kerana ia bukan medium yang mendapat perhatian ramai.
Menurut Beto, dari drama radio seseorang pelakon boleh meningkatkan asas lakonan mereka, selain akan merasa puas apabila dapat mempersembahkan emosi dalam bentuk suara.
Kepuasan dan saya lebih utamakan ilmu serta pengetahuan. Sebab ramai yang tak tahu kalau kata teater semua orang tahulah, teater asas kepada lakonan, kebanyakannya bermula pada teater.
Tapi ramai yang tak sedar, dari drama radio kita boleh belajar macam-macam dari segi tonasi suara dan kita nak meyakinkan pendengar hanya dengan suara tanpa visual satu benda yang payah sebenarnya.
Sudah berbelas tahun juga saya melibatkan diri dalam drama radio.
Saya pernah juga diperlekehkan dengan sentimen, apabila ada yang cakap, “Eh Beto, kau masih lagi nak buat drama radio? Tak glamor.”
Pada mereka, drama radio tu tidak glamor dan sebagainya. Tapi pada saya, saya pandang dari sudut perspektif lain. Ia memberikan saya pengetahuan, luaskan kemampuan dari sudut lakonan, dan kepuasan untuk diri saya sendiri.
Beto berkata demikian ketika ditemui pada sesi bacaan skrip teater terbaharunya Tragedi Malam Pesta yang berlangsung di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Tambah pelakon drama Good Boys Go To Haven itu, nama-nama besar di dalam industri seni juga masih aktif melakonkan drama radio, sekaligus membuktikan bahawa ia adalah sesuatu yang bermanfaat untuk portfolio seseorang pelakon.
Ramai legenda pelakon tanah air yang masih buat drama radio. Kita ada Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datuk Fauziah Nawi dan Datuk Eman Manan.
Siapalah orang-orang lain yang nak memperlekeh sedangkan legenda-legenda ni masih tetap berlakon drama radio. Walaupun bajetnya tak besar, tapi lebih kepada kepuasan dan pengetahuan.
Dalam perkembangan lain, Beto bersama Nabila Huda, Firdaus Karim dan Aloy Paradoks bakal menjayakan teater arahan Afiza Asram itu selama tiga hari bermula 4 Disember ini di Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Petaling Jaya.
The post [VIDEO] ‘Pernah Diperlekeh Buat Drama Radio Tak Glamor, Tapi Saya Pandang Dari Perspektif Lain’ – Beto Kusyairy first appeared on OHBULAN!.





