
Meskipun rumah tangga di ambang perpisahan, pelakon Beego masih berharap dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama anak-anaknya dan isteri, aktres Linda Hashim.
Raya bersama

Beego atau nama sebenar Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, berkata, dia ingin melihat keluarga kecilnya itu berkumpul dan merakam foto bersama.
Raya akan menjelang, saya harap kami sekeluarga dapat bersatu kembali. Harap dapat beraya bersama dengan anak-anak. Nak bergambar lengkap satu keluarga.
Beego berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejurus usai sebutan kes perceraian, pada Khamis.
Sementara itu, Linda berkata, dia tidak menghalang Beego untuk berjumpa dan menyambut hari raya bersama anak-anak.
Ramadan kali ini saya agak sibuk dengan penggambaran, malah sehingga selepas raya. Tapi anak-anak punya persiapan makan, minum dan untuk berpuasa semua sudah disediakan.
Persiapan raya juga sudah saya lakukan lebih awal, alhamdulillah segalanya dipermudahkan.
Insya-Allah (raya bersama), tengok keadaan, kalau ada rezeki tiada masalah. Boleh sahaja raya bersama, janji kita berbincang.
Susulan tiada lafaz talak yang berlaku pada Khamis, mahkamah memutuskan kes permohonan cerai Beego dan Linda diteruskan kepada prosiding Jawatankuasa Pendamai (JKP) pada 23 April depan.
Terdahulu Linda memfailkan cerai terhadap suaminya, Beego pada Januari lalu dengan alasan sudah tiada persefahaman.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan tersebut dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa,11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.





