
Pelakon, Linda Hashim mendakwa pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga sejak 2016.
Linda dakwa jadi mangsa keganasan

Linda atau nama sebenar Norhazlinda Hashim, 40, turut mendakwa mempunyai empat laporan polis dan tiga laporan hospital berhubung perkara tersebut.
Dakwanya, kali terakhir menjadi mangsa keganasan rumah tangga adalah pada Oktober tahun lalu sebelum dia bertindak meninggalkan rumah kelamin dan tidak pernah pulang semula hingga hari ini.
Saya ingin dedahkan di sini, saya ada empat laporan polis dan tiga laporan hospital berhubung isu keganasan rumah tangga.
Laporan itu dibuat disebabkan kecederaan yang saya alami. Pertama kali kejadian itu berlaku pada 2016 dan kali terakhir adalah pada bulan Oktober tahun lalu yang mana hari itu juga saya keluar dari rumah.
Linda berkata demikian usai proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) berhubung kes perceraian dengan suami, aktor Beego yang berlangsung di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada Rabu.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 Jun depan sebagai tarikh mendengar laporan JKP.
‘Saya tak teragak-agak dedahkan segala bukti’

Tegas Linda, isu keganasan rumah tangga merupakan antara faktor dia memfailkan perceraian selain mendakwa mempunyai bukti-bukti lain berhubung sikap Beego.
Dalam pada itu, Linda berkata, dia tidak teragak-agak untuk mendedahkan bukti tersebut jika Beego masih memanipulasi keadaan dan mencabar dirinya.
Jika dia nak saya dedahkan, saya boleh sahaja. Kalau pihak saya terus ‘mencungkil’, saya tidak teragak-agak untuk dedahkan segala bukti.
Saya sudah bertahan lama, sudah berbelas tahun bertahan, jangan cuba manipulasi arau ‘play victim’. Ini juga satu amaran untuk dia.
Kongsi Linda lagi, isu keganasan rumah tangga juga telah mengganggu emosi dan mentalnya.
Sampai bila saya nak bertahan, perkara itu sangat mengganggu mental dan emosi saya. Mental anak-anak juga terganggu.
Saya sebenarnya tidak mahu jadikan kes ini makin besar, sebab akan menyusahkan kedua-dua pihak. Saya cuma mahu dilepaskan secara baik sahaja.
Yang salah tetap salah, jangan pernah tegakkan benang yang basah, kita selesaikan cara baik.
Terdahulu, Linda memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, awal Januari lalu atas alasan sudah tiada persefahaman.
Pada Mei 2023, Linda dan Beego hadir ke mahkamah sama bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.
Hal itu berikutan mereka mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 selepas bercerai pada 27 Mac tahun sama.
Linda pernah mendedahkan, mereka pernah bercerai buat kali kedua hanya selepas beberapa bulan kembali rujuk pada April 2023.
Bagaimanapun, mereka tidak mendedahkan perkara itu kerana bimbang dianggap mempermainkan institusi perkahwinan.
Untuk rekod, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.





