Seorang lelaki di Indonesia nekad membunuh isterinya gara-gara berang selepas dituduh bermain kayu tiga bersama janda.
Bunuh isteri sebab tuduh curang
Memetik laporan Detik News, sehari sebelum pembunuhan terjadi, berlakunya perselisihan faham antara suspek yang dikenali sebagai Suriatman dan isterinya, Irawati. Pergaduhan itu berpunca selepas Irawati melihat suaminya itu menyapa seorang janda dan mempelawa wanita itu meminum kopi.
Jadi sehari sebelum itu, dia (Suriatman) menyapa janda ‘ayo silakan ngopi dulu’. Perbualan itu didengari oleh isterinya. Isterinya marah.
Bukan hanya berlaku pertengkaran mulut malah Irawati (mangsa) dikatakan telah bertindak ganas dengan memukul suaminya itu menggunakan sebatang kayu. Berang kerana berterusan dikasari, Suriatman (suspek) kemudian menampar pipi dan menendang perut mangsa. Tidak terhenti di situ, suspek bertindak memukul kepala mangsa menggunakan kayu sehingga mangsa mengalami pendarahan yang teruk dan disahkan meninggal dunia.
Mahu menutup perbuatannya itu, suspek kemudian membuang mayat mangsa ke dalam empangan. Suspek membuat laporan palsu mengatakan isterinya itu dibunuh oleh perompak.
Namun hasil siasatan mendapati, Suriatman merupakan dalang di sebalik kematian Irawati dan suspek berdepan hukuman 15 tahun penjara.