
Penyanyi, Krisha meluahkan rasa gembira dan teruja apabila kembali menyambut Aidilfitri di Malaysia selepas tujuh tahun menetap di Bosnia bersama keluarga kecilnya.
Kembali raya di Malaysia

Walau bagaimanapun, Krisha, 43, berkata, ini merupakan tahun pertama dia beraya tanpa anak sulungnya dan suami kerana mereka masih belum pulang ke tanah air disebabkan masih mempunyai beberapa urusan.
Saya memang dah pulang ke Malaysia untuk menetap terus di sini setelah tujuh tahun duduk di Bosnia sebab ikut suami. Jadi ini tahun pertama selepas tujuh tahun saya beraya di sini.
Cumanya, saya dekat sini dengan anak-anak saja. Tapi anak pertama saya dengan suami masih di Bosnia. Sebab anak sulung saya perlu habiskan sekolah di sana.
Buat masa ini kami beraya berjauhan. Tapi tak boleh nak buat apa, ini pun hanya sementara waktu saja. Lagi dua tahun, mereka akan balik sini.
Biarpun berasa sedih terpaksa berjauhan, namun penyanyi lagu ‘Keluang Man’ ini dapat mengubat rindu dengan membuat panggilan video bersama anak dan suami.
Sekarang dah ada internet, jadi saya selalu berborak dalam telefon dan membuat panggilan video bersama mereka. Jadi terubat la rindu pada mereka.





