Di bawah limpahan cahaya, pentas Zepp Kuala Lumpur pada malam 8 Ogos lalu, menjadi bukti kejayaan Konsert Hael Husaini & Repertoire.
Artikel Berkaitan: Fasa ‘Me Time’ Sudah Berlalu, Hael Husaini Pegang Prinsip – ‘Jangan Sesekali Berkata Penat Atau Mengeluh’
Magis Hael Husaini

Penonton yang memenuhi ruang seolah-olah berada di dalam sebuah kapsul muzik, dibawa mengembara bersama suara emas seorang pemuzik hebat bernama Hael Husaini.
Konsert sulung Hael ini bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah memori yang diceritakan dari hela nafas pertama hingga penutup tirai.
Sejak langkah pertama Hael naik ke pentas, aura keyakinannya terus memancar. Dengan menyarung sut kemas dan senyum yang tidak lekang, lantas menyapa penonton.
Kejutan Siti Nurhaliza

Namun, detik paling istimewa malam itu adalah kemunculan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang membuat kejutan istimewa menyampaikan lagu ikonik ciptaan Hael dan Ezra Kong, Anta Permana.
Hael atau nama penuhnya Hal Husaini Razmi, 37, berkata, pengesahan kehadiran Siti hanya diperoleh dua hari sebelum konsert.
Memang dari awal saya yakin Datuk Seri Siti Nurhaliza akan beri kerjasama. Tetapi pada mulanya beliau tidak dapat hadir kerana jadual yang padat. Tiba-tiba, last minute, beliau hubungi saya dan kata mahu singgah. Itu rezeki yang tak ternilai.
Bagi menjaga adab, Hael terlebih dahulu meminta izin daripada suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Itu perkara penting. Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah isteri orang, jadi saya rasa wajar untuk mendapatkan kebenaran. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan.
Apabila Siti melangkah ke pentas, sorakan memecah udara. Penonton berdiri, ada yang mengangkat telefon untuk merakam, ada juga yang hanya mahu menikmati detik itu dengan mata dan hati.
Kisah dalam lagu

Sepanjang hampir tiga jam, Hael dan bintang undangan menghidangkan lebih 24 buah lagu, setiap satu adalah serpihan kisah dalam perjalanan seninya. Ada yang manis, ada yang penuh luka, namun semuanya dilakar dengan kejujuran.
Antara lagu yang disampaikan adalah Usia, Belenggu Rindu, Haram, Jampi, Cemburu, Vroom Vroom, Bujang, Diam, Bukan Lagi Kita, Hari Ini, Hajat dan banyak lagi.
Selain Siti, barisan bintang jemputan seperti Nadeera Zaini, Wany Hasrita, Nabila Razali, Dayang dan kumpulan Alpha turut menambah warna, membentuk mozek muzik yang mempesona.
Konsert ini bukan sahaja meraikan karya-karya Hael, tetapi juga menyaksikan keserasian yang indah antara artis dan penonton.
Penonton puas

Ada momen Hael bergurau, ada saat dia berdiri diam membiarkan penonton menyanyi bersama, dan ada juga detik di mana senyap itu sendiri menjadi muzik.
Ketika tirai hampir dilabuhkan, tepukan penonton bergema, seolah enggan mengizinkan malam itu berakhir. Wajah-wajah penonton bersinar, ada yang tersenyum, ada yang bergenang air mata.
Hael Husaini & Repertoire bukan sekadar sebuah konsert sulung. Ini adalah perayaan seni, penghargaan terhadap persahabatan, dan bukti bahawa muzik mampu menyatukan hati walau datang dari latar yang berbeza.
Sekadar info, Hael Husaini & Repertoire dibawakan istimewa oleh Astro bersama Rocketfuel Entertainment.
Foto






The post Konsert Hael Husaini & Repertoire Ibarat Sebuah Cerita Dalam Muzik first appeared on OHBULAN!.





