
Tarikh konsert solo pertama, penyanyi lagenda, Datuk Amy Search dilaporkan bertembung dengan perlawanan akhir Piala Malaysia antara pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC pada 26 April depan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Konsert bertembung

Susulan itu, seorang peminat meminta penyanyi berusia 66 tahun berkenaan untuk menukar tarikh konsertnya yang diberi nama Amy Search Magic First Solo Concert.
Menyedari mengenai perkara itu, Amy atau nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman dalam nada seloroh memberitahu kepada peminatnya untuk tidak menonton perlawanan tersebut kerana sudah mengetahui keputusannya.
Tak perlu tengok sebab dah tentu JDT menang. Mana pernah JDT kalah.
Bersetuju dengan jawapan yang diberikan, individu itu lantas memberitahu akan hadir menonton konsert solo pertamanya meskipun bakal terlepas menyaksikan perlawanan bola sepak itu.
Terbaik datuk. Betul juga. Baiklah saya ‘on’ konsert Amy.
Terdahulu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan perubahan tarikh baharu bagi aksi final Piala Malaysia yang membabitkan pertembungan JDT dan Sri Pahang.
Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu dalam kenyataan memaklumkan tarikh baharu aksi final itu ditetapkan pada 26 April di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Untuk rekod, selepas 44 tahun bergelar anak seni, Amy bakal muncul dengan konsert solo pertamanya ‘Amy Search Magic First Solo Concert’ di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 26 April ini.
Amy berkata, konsert berkenaan akan menjadi detik penting dalam sejarah kerjaya seninya selepas lebih empat dekad berkelana dalam industri muzik.
Tiket untuk konsert itu sudah dijual sejak 5 Feb lalu di http://www.wowtix.com.my.





