Penyanyi, Ameng tampil memberi penjelasan berhubung kenyataan bekas isterinya, Datuk A. Aida yang sebelum ini memaklumkan telah menghalalkan segala dosa serta kesalahan lalu melibatkan dirinya.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Saya Suka Tengok Live Ameng Spring, Rasa Macam Apa Yang Dia Cakap Itu Memberi Iktibar’ – Aliff Syukri
Salah dengan bekas isteri

Ameng, 57, mengakui kesilapan terbesar yang pernah dilakukannya sepanjang perkahwinan terdahulu adalah terjebak dengan penyalahgunaan bahan terlarang yang akhirnya memberi kesan besar terhadap kehidupan dan kerjayanya.
Menurut Ameng, pengaruh dadah bukan sahaja membuatkan dia lalai terhadap tanggungjawab sebagai suami dan bapa, malah turut menjejaskan sumber rezeki serta keharmonian rumah tangga.
Kesalahan saya dengan A. Aida adalah disebabkan dadah, tiada perkara lain. Kesan daripada itu membuatkan saya lupa tanggungjawab terhadap keluarga dan merosakkan kerjaya.
Apabila kerjaya terjejas, rezeki pun terjejas, dan akhirnya keluarga turut terkesan. Pada ketika itu, A. Aida sudah hilang keyakinan terhadap saya dan merasakan tiada masa depan.
Ameng berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran The Next Chapter Rissa Skin X Amira Othman di Hotel Concorde, Shah Alam, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, vokalis kumpulan Spring itu turut menzahirkan rasa syukur serta penghargaan terhadap isterinya, Sabariah Zakaria yang setia berada di sisinya ketika dia melalui fasa paling gelap dalam hidup.
Saya hanya minta kepada Tuhan supaya saya pulih. Saya sedar saya banyak buat dosa, terutama kepada isteri saya, Sabariah.
Dulu setiap kali saya bawa kawan-kawan ke rumah dan terlibat dengan aktiviti tidak sihat, isteri saya akan membaca yasin untuk menenangkan diri kerana dia tahu keadaan saya ketika itu sukar dikawal.
Selepas keluar dari penjara, kalau saya masih tidak berubah, memang saya ini teruk. Itu yang buatkan saya nekad untuk pulihkan diri.
Dalam pada itu, Ameng meluahkan rasa syukur apabila kehidupannya kini semakin stabil dan hubungan kekeluargaan kembali harmoni.
Alhamdulillah, selepas saya berubah, keluarga saya juga semakin baik. Anak-anak menunjukkan perubahan positif dan kehidupan saya kini lebih teratur.
Terdahulu, A. Aida mengakui telah menghalalkan segala kesalahan Ameng terhadapnya selepas tersentuh melihat kesungguhan penyanyi itu membantu anak mereka, Azeva dalam program Talk To My Manager musim kedua.
Menurut A Aida, tiada lagi dendam atau isu berbangkit antara mereka, sekali gus menandakan hubungan yang lebih baik demi keluarga.
The post ‘Kesalahan Saya Dengan A Aida Adalah Sebab Da*ah, Buat Lupa Tanggungjawab’ – Ameng first appeared on OHBULAN!.





