Usaha Jabatan Peguam Negara (AGC) membangunkan Kampung Jilid 8 dan Rangkaian di Kuala Muda, Kedah benar-benar menghidupkan semangat MADANI.
Bukan sekadar slogan, tetapi inisiatif yang betul-betul mengubah kehidupan penduduk luar bandar.
Melalui program Kampung Angkat MADANI, kampung ini berubah daripada kawasan yang terpinggir kepada komuniti yang lebih ceria, selamat dan berdaya saing.
Selain menaik taraf infrastruktur, inisiatif ini juga mengukuhkan hubungan antara agensi kerajaan dan komuniti setempat.

Menurut Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, pemilihan Kampung Jilid 8 dan Rangkaian dibuat berdasarkan keperluan sebenar masyarakat setempat serta potensi besar kawasan berkenaan.
“Kampung ini mempunyai potensi besar untuk berkembang kerana kedudukannya yang strategik di muara Sungai Merbok, dikelilingi sawah padi, hutan paya bakau dan komuniti yang harmoni,” katanya.
Beliau yakin peningkatan kemudahan asas akan membuka lebih banyak peluang ekonomi dan merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
Kampung ‘level up’, kemudahan asas diaktifkan semula

Dengan pelaksanaan projek naik taraf yang menyeluruh, penduduk kini dapat menikmati kemudahan asas yang lebih teratur dan moden.
Perubahan ini bukan sahaja memudahkan urusan harian, malah memberi rasa selamat, selesa dan yakin bahawa kampung mereka turut menerima pembangunan setanding kawasan lain.
Antara pembaharuan utama yang memberi impak besar kepada penduduk ialah:
- Jalan baharu yang berturap dengan lebih sempurna
- Lampu solar yang menerangi laluan malam
- Jeti nelayan baharu
- Padang bola yang dinaik taraf
- Mesin ATM BSN pertama di masjid
Mesin ATM di masjid menjadi antara kemudahan paling dihargai kerana penduduk tidak lagi perlu ke Sungai Petani untuk urusan tunai. Kini semuanya boleh dilakukan dalam kampung sahaja, menjimatkan masa dan kos perjalanan.
Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata bahawa projek bernilai RM2.5 juta ni dibuat atas keperluan penduduk luar bandar yang sekian lama terpinggir.
Persekitaran kampung lebih selamat dan bersih

Sebelum projek ini, jalan kecil yang gelap sering mengundang bahaya serta mencatat beberapa insiden kemalangan. Dengan pemasangan lampu solar sepanjang laluan, pergerakan pada waktu malam kini lebih selamat.
Selain itu, AGC turut menambah baik kemudahan lain seperti membaiki sistem pembetungan, menggantikan pagar tanah perkuburan Masjid At-Tahir, membaik pulih titi utama kampung serta membina lima pusat pengumpulan sampah lengkap dengan 20 tong baharu.
Langkah ini bukan sahaja menyelesaikan isu kebersihan yang sering membelenggu penduduk sebelum ini, malah menjadikan kawasan kampung lebih tersusun dan selesa untuk didiami.
CSR yang menambah kualiti hidup penduduk

AGC tidak hanya memberi fokus kepada pembangunan fizikal, tetapi turut menambah baik kemudahan sosial dan pendidikan melalui beberapa program CSR.
Antara sumbangan yang diberikan ialah:
- Smart TV, rak baharu dan lebih 100 bahan bacaan untuk perpustakaan KAFA
- Bilik mengaji muslimat dinaik taraf dengan pendingin hawa, kipas dan papan lapis baharu
- Perabot baharu termasuk kerusi, meja guru dan almari berkunci untuk sekolah KAFA
- Pembesar suara baharu untuk Masjid At-Tahir
Semua projek dan sumbangan ini diserahkan sepenuhnya kepada penduduk pada 16 Februari lalu, menandakan kejayaan pelaksanaan penuh Kampung Angkat MADANI 2024.
Nelayan juga kini mendapat manfaat besar menerusi jeti baharu yang lebih praktikal, memudahkan pergerakan tanpa perlu menunggu pasang surut air.

Malah, kawasan bakau berdekatan jeti semakin menarik minat pengunjung dan pencipta kandungan yang gemar suasana semula jadi.
Transformasi di Kampung Jilid 8 dan Rangkaian membuktikan bahawa apabila agensi kerajaan turun ke lapangan dan memahami keperluan rakyat, perubahan yang berlaku bukan sahaja memudahkan rutin harian tetapi juga membuka peluang ekonomi, sosial dan pelancongan.
Inisiatif MADANI ini nyata memberi harapan baru kepada komuniti luar bandar untuk terus berkembang dan menikmati pembangunan yang lebih seimbang.
The post Kampung Jilid 8 Kini ‘Level Up’ – AGC Ubah Wajah Komuniti Dengan Projek MADANI first appeared on OHBULAN!.





