Bekas speaker DUN Johor, Mohd Puad Zarkashi mendakwa BN dan Umno menampilkan ramai calon “kitar semula” serta tidak mencerminkan aspirasi anak muda pada PRN Johor kali ini.
Melalui kenyataan selepas proses penamaan calon selesai hari ini, Puad berkata senarai calon Umno disifatkannya tidak menarik, tidak menggambarkan perubahan dan gagal memenuhi tuntutan generasi baru dalam parti itu.
“Penamaan calon hari ini sudah selesai. Umno membariskan ramai calon kitar semula, mediocre dan anti aspirasi anak muda.
“Calon Umno adalah calon 'caca marba', tidak menarik dan tidak mengambarkan perubahan.

"Kenapa? Sebab ia parti anak beranak (calon dipilih di kalangan kroni dan partner main golf)," dakwanya.
"Ada yang baru sebulan kembali masuk Umno sudah boleh jadi calon dengan mudah,” katanya lagi.
Puad sebelum ini mengumumkan keluar daripada Umno berkuat kuasa serta-merta selepas mendakwa parti itu tidak lagi bebas membuat keputusan dan ‘dikawal’ pihak istana.
Umno pula mendakwa tindakan Puad itu ada kaitan dengan tuntutan peribadinya supaya anaknya dicalonkan menggantikan dia di Rengit tidak dipenuhi kepimpinan parti.

Sementara itu, Puad berkata Umno yang kini berusia 80 tahun sepatutnya dipimpin generasi keempat parti itu, seperti menteri besar sementara Johor Onn Hafiz Ghazi.
Bagaimanapun, katanya, ramai calon yang diketengahkan Umno Johor masih daripada generasi ketiga, sekali gus menyebabkan generasi keempat parti itu terpinggir.
“Tempoh satu generasi adalah 20 tahun. Umno telah berusia 80 tahun. Sepatutnya Umno dipimpin oleh generasi ke 4 Umno seperti Onn Hafiz.
“Malangnya ramai calon Umno adalah calon recycle dari generasi ketiga. Maka Umno Johor gagal memenuhi aspirasi anak muda. Generasi keempat terpinggir. Itu yang Akmal tidak faham,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menegaskan bahawa parti tersebut bukan milik "anak beranak" susulan dakwaan Puad yang tidak berpuas hati terhadap pengundian calon.
Kata Akmal, dakwaan bekas anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu bahawa Umno Johor tidak lagi memenuhi aspirasi golongan muda adalah tidak berasas sedangkan ramai calon muda diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Bagaimanapun, Puad hari ini mempersoalkan keputusan Umno menampilkan semula beberapa nama lama, termasuk Abdul Halim Suleiman di Tiram, Dr Adham Baba, Samsolbari Jamali, Alwiyah Talib, Azhar Ibrahim, Zaidi Jaafar dan Youzaimi Yusof.
Menurut Puad, sebahagian calon terbabit pernah kalah dalam pilihan raya sebelum ini, selain ada yang telah lama menjadi wakil rakyat atau baru menyertai semula Umno.

“Kenapa letak calon-calon recycle seperti Dato Halim di Tiram (kalah 2018/64 tahun), Dr Adham Baba (digugurkan PRU 15/64 tahun), Samsolbari Jamali (6 penggal/65 tahun), Alwiyah Talib (65 tahun/2 penggal Adun Bersatu/baru sebulan masuk Umno terus jadi calon), Azhar Ibrahim (Kalah 2018/Haslinda exco Wanita baru sepenggal digugurkan). Zaidi Jaafar (kalah 2018). Dan Youzaimi Yusof (kalah 2022).
“Lagi pelik calon yang ada Ph.d seperti Dato Fuad Tukirin katanya diganti dengan calon SPM di Bukit Naniing. Maka bagaimana anak muda mahu tertarik dengan Umno.
“Memang wajar Puteri Umno marah kerana seorang sahaja wakil Puteri jadi calon. Risikonya pengundi muda kali ini masih menolak Umno,” kata Puad lagi.





