Pasukan yang berjaya melangkah jauh dalam kempen Piala Dunia 2026 bakal menikmati ganjaran wang tunai yang jauh lebih lumayan apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan struktur baharu agihan hadiah bagi kejohanan berkenaan.
Artikel Berkaitan: Cristiano Ronaldo Buktikan Pengkritik Silap, Ledak Dua Gol & Cipta Sejarah Baharu World Cup 2026
Artikel Berkaitan: Bekas Rakan Pasukan Dedah Cristiano Ronaldo Tertarik Mahu Peluk Islam – ‘Setiap Kali Azan Dia Minta Jurulatih Hentikan Latihan’
Hadiah lumayan

Menerusi struktur tersebut, FIFA meningkatkan jumlah hadiah kepada pasukan yang berjaya mara ke pusingan kalah mati, manakala semua negara yang layak ke pusingan akhir turut menerima dana persediaan yang lebih tinggi berbanding edisi terdahulu.
Kesemua 48 pasukan yang layak ke kejohanan yang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico itu bakal menerima dana persediaan sebanyak AS$2.5 juta (RM11.75 juta), meningkat AS$1.5 juta berbanding Piala Dunia 2022 di Qatar.
Bagaimanapun, tiada sebarang peningkatan hadiah diberikan kepada pasukan yang gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.
Bagi format baharu yang memperkenalkan pusingan 32 terbaik, setiap pasukan yang tersingkir pada peringkat tersebut akan membawa pulang ganjaran sebanyak AS$11 juta (RM51.7 juta).
Sementara itu, pasukan yang mara sehingga pusingan 16 terbaik pula akan menerima AS$13 juta (RM61.1 juta) iaitu peningkatan sebanyak AS$2 juta berbanding edisi lalu.
Ganjaran terus meningkat buat pasukan yang melangkah ke suku akhir apabila mereka dijamin membawa pulang sekurang-kurangnya AS$19 juta (RM89.3 juta).
Bagi penentuan tempat ketiga dan keempat pula, pasukan yang menamatkan saingan di tangga ketiga akan menerima AS$29 juta (RM136.3 juta) manakala pasukan di tempat keempat memperoleh AS$27 juta (RM126.9 juta).
Naib juara Piala Dunia 2026 pula bakal menerima AS$33 juta (RM155.1 juta), meningkat sebanyak AS$3 juta berbanding jumlah yang ditawarkan pada Piala Dunia 2022.
Juara dunia pula akan menikmati hadiah paling lumayan apabila membawa pulang AS$50 juta (RM235 juta) iaitu peningkatan AS$8 juta (RM37.6 juta) berbanding ganjaran yang diterima Argentina selepas muncul juara di Qatar.
Malah, jumlah hadiah kepada juara Piala Dunia 2026 itu turut mengatasi ganjaran AS$40 juta (RM188 juta) yang diterima Chelsea selepas menjuarai format baharu Kejohanan Piala Dunia Kelab FIFA tahun lalu, sekali gus mencerminkan komitmen FIFA untuk terus meningkatkan nilai komersial dan daya saing kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia itu.
Sumber: Buletin Utama
The post Juara World Cup 2026 Bakal Bawa Pulang RM235 Juta, Portugal Raih RM61.1 Juta Selepas Tersingkir Di Pusingan 16 Terbaik first appeared on OHBULAN!.





