Usahawan dan penyampai radio, Ajak Shiro, kini lebih serius menceburi bidang perniagaan selepas pengalaman pahit menguruskan syarikat produksi beberapa tahun lalu memberi pengajaran besar dalam hidupnya.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Ajak Dedah Pernah Memberontak Kerana Dimarahi Bapa – ‘Disebabkan Nak Tunjuk Dekat Ayah, Aku Sanggup Lawan’
‘Baik jual nasi’ – Ajak Shiro

Ajak atau nama sebenarnya, Mohd Hanaffi Razak, berkata pengalaman tersebut membuatkan dia lebih berhati-hati dalam memilih rakan niaga selain mendapatkan bimbingan daripada individu yang lebih berpengalaman.
Sejak itu, saya berjanji untuk mula berniaga dan cuba buat sesuatu yang baharu, tetapi bukan bermula tanpa ilmu.
Sebab itu apabila saya mulakan perniagaan kali ini, saya cari orang yang betul-betul pandai dan faham apa yang saya nak buat.
Saya hendak buka restoran dan mempunyai rangkaian restoran dengan banyak cawangan. Lebih baik saya jual nasi. Orang makan dan bayar terus.
Ajak berkata demikian ketika majlis pelancaran program ‘Daripada Pelanggan Menjadi Pemegang Saham’ di Bumbu Babah Warisan, pada Jumaat.
Bagaimanapun, sebelum kembali membina kehidupan menerusi bidang perniagaan, Ajak pernah melalui fasa sukar apabila terpaksa mengorbankan hampir seluruh simpanannya untuk menampung kerugian syarikat produksi yang diusahakannya.
Menurutnya, dia terpaksa menjual rumah di Johor, kereta serta menggadaikan barangan kemas milik isterinya kerana jumlah hutang yang ditanggung ketika itu terlalu besar.
Ini saya fikir kali pertama saya kongsi. Saya jual rumah saya di Johor. Selepas jual rumah untuk ‘cover’ kehidupan kami, masih lagi tak cukup sebab hutang itu agak besar.
Saya terpaksa leburkan gelang tangan isteri saya semuanya. Saya jual kereta dan titik paling rendah sekali apabila terpaksa keluarkan anak-anak daripada sekolah swasta.
Bukan sebab saya nak sangat anak saya sekolah swasta, tetapi sejak awal mereka sudah selesa di sana.
Terpaksa keluarkan anak-anak dari sekolah swasta

Tekanan kewangan yang dihadapi bukan sahaja memberi kesan kepada dirinya, malah turut dirasai seluruh keluarga apabila Ajak, 40, terpaksa membuat keputusan yang amat berat.
Paling menyentuh hati, katanya, adalah ketika dia terpaksa mengeluarkan anak-anak daripada sekolah swasta yang sudah menjadi rutin mereka sejak awal.
Saya masih ingat detik itu. Saya bawa kereta dan tengok anak saya di belakang. Ketika itu, hati sebagai seorang ayah, saya menangis.
Saya fikir macam saya gagal beri yang terbaik untuk anak-anak. Saya fikir saya ayah yang tidak berguna kerana terlalu percaya kata kawan dan ikut cakap kawan.
Kawan kata, oh, ini okay, engkau modal sahaja dahulu. Akhirnya, saya jadi macam ini dan mangsanya adalah keluarga saya.
Biarpun pernah berdepan kerugian besar, Ajak tidak menjadikan pengalaman tersebut sebagai alasan untuk berhenti berniaga.
Sebaliknya, dia menjadikan episod berkenaan sebagai titik perubahan untuk membina perniagaan dengan lebih berilmu dan terancang.
Dalam pada itu, Babah Ventures Sdn Bhd (Babah Ventures), syarikat di sebalik rangkaian restoran Bumbu Babah, melancarkan kempen Equity Crowdfunding (ECF) menerusi pitchIN.
Kempen tersebut membuka peluang kepada pelanggan dan penyokong jenama berkenaan untuk menjadi pemegang saham syarikat.
Babah Ventures merancang untuk menjadikan Bumbu Babah Warisan sebagai salah satu format utama bagi fasa seterusnya pengembangan ke pusat beli-belah, disokong oleh prestasi kukuh cawangan sedia ada yang beroperasi di lokasi tersebut.
Dengan Bumbu Babah Warisan, kami nak ambil apa yang dah berjaya untuk kami dan pergi kepada market yang lebih besar.
Kalau sebelum ini kita lebih kuat sebagai destinasi lunch dan dinner, sekarang kita ada pilihan untuk waktu-waktu lain sepanjang hari.
Kami juga tahu daripada outlet sedia ada bahawa lokasi dalam mall memang perform sangat baik untuk kami. Jadi Bumbu Babah Warisan memang dibangunkan dengan expansion ke mall sebagai salah satu fokus utama.
The post [VIDEO] Pernah Jual Rumah, Kereta & Gadai Barang Kemas Isteri, Ajak Shiro Serius Berniaga Selepas Rugi RM400,000 – ‘Lebih Baik Saya Jual Nasi’ first appeared on OHBULAN!.





