
Pelakon, Imran Aqil sempat menulis sebuah nukilan istimewa kepada isterinya yang juga pempengaruh media sosial, Dahlia Rizal sebelum melahirkan cahaya mata sulung mereka, pada Rabu.
Perjuangan isteri

Menerusi perkongsian di TikTok, Imran berkata, dia kagum melihat perjuangan isterinya sejak mula hamil sehingga detik disuntik epidural.
Hari ini aku temani isteriku, menghadapi satu lagi fasa ujian sebagai seorang ibu.
Aku saksikan sendiri kesakitannya, dari mula mengandung sampai ke saat dia ambil suntikan epidural.
Ada yang cakap ini ‘cheat code’ untuk kurangkan sakit bersalin, tapi aku sendiri terkejut tengok jarumnya.
Tak ada yang ‘cheat’ bila bercakap tentang perjuangan seorang ibu. Aku sangat terkesan, aku sangat kagum.
Syurga bawah telapak kaki ibu

Menerusi hantaran sama, Imran berkata, dia akhirnya mengerti istilah syurga di bawah telapak kaki ibu selepas melihat perjuangan dilalui isterinya.
Isteriku minta maaf pada semua, andai ada hati yang terguris sepanjang dia mengandung.
Betul lah bahawa syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Kini, aku lebih faham maksudnya.
Ya Allah, mudahkan urusan kelahiran isteriku, jadikan dia dan anak kami di bawah lindungan-Mu dan berkatilah keluarga kecil kami.
Pada Rabu, Dahlia Rizal selamat bergelar ibu selepas melahirkan anak sulungnya, seorang bayi perempuan.
Untuk rekod, Imran dan Dahlia selamat mendirikan rumah tangga dalam satu majlis tertutup yang diadakan di Melaka, pada September tahun lalu.





