Pelakon, Idan Aedan menegur sikap segelintir peminat yang terlalu fanatik terhadap artis pujaan sehingga sanggup menyerang selebriti lain dan mencetuskan perselisihan faham di media sosial.
Artikel Berkaitan: Idan Aedan Pernah Terima Gambar Lucah Dari Pengikut Wanita
Artikel Berkaitan: Evanatie Sannie Jawab Dakwaan ‘Check In’ Hotel Dengan Idan Aedan – ‘Memang Saya, Tapi Fitnah’
Nasihat untuk peminat

Idan atau nama sebenarnya Muhammad Shahidan Abdullah, 22, berkata, minat terhadap seseorang selebriti seharusnya tidak melampaui batas sehingga bertukar menjadi obsesi yang boleh menjejaskan kehidupan peribadi.
Menurutnya, peminat perlu bijak membezakan antara minat dan sikap terlalu taksub kerana perbuatan itu bukan sahaja tidak sihat, malah berisiko membuatkan mereka mengabaikan tanggungjawab serta hubungan dengan keluarga.
Ada garis pemisah antara minat dan terlalu obses, bezakan antara minat dan obses. Mereka kena asingkan perkara itu. Minat adalah minat, tetapi obses adalah sesuatu yang tidak sihat walaupun untuk diri sendiri.
Pastikan ada masa untuk diri sendiri juga sebab kalau terlalu obses dengan seseorang, kadangkala anda akan terlepas pandang keluarga sendiri.
Mungkin anda sanggup hadir pelbagai acara, tetapi hubungan dengan keluarga tidak baik. Jadi kena bertenang dan fikir apa yang betul-betul penting dalam hidup.
Idan ditemui pada Program Pesona Sinema sempena Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kuala Pilah pada Selasa.
Berkongsi lanjut, pelakon filem Abah Saya Uncle Mike itu turut mengingatkan peminat supaya tidak menjadikan perbezaan pencapaian seseorang artis sebagai alasan untuk membandingkan atau melaga-lagakan pelakon lain.
Jelasnya, setiap penggiat seni mempunyai perjalanan kerjaya, sasaran dan kehidupan masing-masing tanpa perlu melihat rakan seperjuangan sebagai pesaing.
Peminat juga kena faham dalam industri ini ada ramai penggiat seni dan kami tidak bersaing sesama sendiri pun sebenarnya.
Walaupun projek seseorang itu meletup dan seorang lagi tidak, masing-masing ada sasaran dan hidup sendiri. Tidak elok melaga-lagakan dan sokonglah industri secara keseluruhan.
Mengulas mengenai hubungan sesama artis yang terjejas akibat hasutan peminat, Idan berpendapat setiap pelakon perlu mempunyai pendirian sendiri dan tidak mudah terpengaruh dengan provokasi di media sosial.
Dalam mana-mana bidang pun memang akan ada pihak yang menjadi batu api. Jadi pelakon itu sendiri kena pandai memilih dan menilai apa yang patut diambil serta apa yang patut ditolak.
Kalau ada yang cuba melaga-lagakan sedangkan tiada masalah pun, kenapa perlu ambil perkara itu terlalu peribadi? Kena ingat balik bahawa kita semua berkawan dan saling mengenali, jadi jangan terlalu terpengaruh dengan perkara negatif.
Dalam perkembangan lain, Idan diumumkan sebagai finalis Top 5 Pelakon Lelaki Terbaik di FFM35 menerusi filem Abah Saya Uncle Mike.
Turut bersaing dalam kategori sama ialah Shaheizy Sam (Badak), Eman Manan (3 Hajat), Beto Kusyairy (Gayong 2) dan Amierul Affendi (Libang Libu).
The post Idan Aedan Nasihat Peminat Jaga Batas, Jangan Terlalu Taksub Sampai Serang Artis Lain – ‘Bezakan Antara Minat & Obses’ first appeared on OHBULAN!.





