Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), TV3 dan Tourism Malaysia melancarkan Helo Doktor Tour by MHTC, sebuah inisiatif bagi mendekatkan masyarakat dengan maklumat kesihatan serta kepakaran perubatan Malaysia.
Artikel Berkaitan: Sajikan Segmen Menarik Buat Penonton, Helo Doktor Musim Keenam Tampilkan Trio Wajah Baharu
Artikel Berkaitan: Kenali Punca-Punca Terjadinya Masalah Gigi Sensitif & Atasinya Dengan Langkah Yang Betul!
Helo Doktor Tour

Program yang meneruskan inisiatif MH Wellness itu bakal menampilkan empat episod rintis Helo Doktor dengan penglibatan wakil MHTC dan ahli hospitalnya, di samping mengadakan pemeriksaan kesihatan serta aktiviti bersama komuniti.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Datuk Suriaghandi Suppiah, program itu bertujuan mendekatkan masyarakat dengan maklumat kesihatan serta mengetengahkan kepakaran perubatan tempatan.
Melalui kerjasama ini, kami dapat menghubungkan komuniti ekspatriat, pelancong kesihatan dan orang ramai dengan maklumat kesihatan yang relevan, di samping mengetengahkan kepakaran dalam rangkaian Malaysia Healthcare.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Operasi Media Prima Content & TV Networks, Farah Shamsudin berkata, kerjasama berkenaan membolehkan Helo Doktor mendekati masyarakat secara langsung menerusi perkongsian maklumat kesihatan yang mudah difahami.
Menerusi Helo Doktor Tour by MHTC, kami membawa program ini ke tengah-tengah komuniti bagi menggalakkan perbincangan kesihatan serta meningkatkan pendedahan terhadap kepakaran penjagaan kesihatan Malaysia.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim pula berkata, kerjasama itu dapat mengetengahkan kelebihan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan dengan menggabungkan kepakaran kesihatan dan pengalaman pelancongan.
Dengan menghubungkan penjagaan kesihatan dan pengalaman pelancongan, kita dapat memperkenalkan Malaysia secara lebih menyeluruh serta menyokong perkembangan pelancongan perubatan selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026–2027.
Bakal bermula November 2026

Program Helo Doktor Tour by MHTC dirasmikan di Balai Berita Bangsar, Kuala Lumpur, dengan kehadiran barisan pengacara Helo Doktor, Anim Ezati Rizki, Adriana Adnan dan Nadia Azmi.
Jelajah ini bakal bermula di Publika, Kuala Lumpur pada November 2026 sebelum diteruskan setiap suku tahun sepanjang 2027 di beberapa lokasi seluruh negara, selaras usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan menerusi kempen Malaysia Year of Medical Tourism 2026 dengan tema ‘Healing Meets Hospitality’.
Untuk rekod, Helo Doktor Tour by MHTC dijadualkan diperluas ke seluruh negara pada 2027 bagi meningkatkan penglibatan komuniti serta kesedaran pelancong kesihatan antarabangsa terhadap perkhidmatan perubatan di Malaysia.
The post Helo Doktor Tour Dekati Masyarakat, MHTC, TV3 & Tourism Malaysia Bergabung Perkasa Kesedaran Kesihatan first appeared on OHBULAN!.





