Obsessive Compulsive Disorder atau lebih dikenali sebagai OCD iaitu sebuah gangguan kesihatan mental yang sering disalah tafsir oleh masyarakat sebagai sikap terlalu mementingkan kebersihan atau kekemasan.
Artikel Berkaitan: Sukar Tidur Malam? Cuba Refleksologi Untuk Rehat Yang Lebih Berkualiti
Artikel Berkaitan: Tips Memilih Sabun Badan Mengikut Jenis Kulit
Kecelaruan psikologi

Hakikatnya, OCD merupakan kecelaruan psikologi yang jauh lebih serius dan boleh memberi kesan yang negatif terhadap kehidupan seseorang.
Dalam kalangan penghidap OCD, salah satu ciri utama gangguan ini ialah obsesi, iaitu gangguan pemikiran yang muncul secara berulang dan tidak diundang sehingga mencetuskan keresahan serta tekanan emosi yang mendalam.
Pemikiran tersebut hadir dalam pelbagai bentuk, seperti kebimbangan melampau terhadap kebersihan dan pencemaran, lintasan fikiran yang bercanggah dengan ajaran agama, serta idea agresif yang boleh menjejaskan keselamatan diri sendiri atau orang lain.
Ada juga individu yang terperangkap terhadap susunan yang sempurna, sehingga mereka berasa tidak tenteram apabila sesuatu kelihatan tidak teratur.
Sebagai tindak balas terhadap tekanan daripada obsesi tersebut, individu yang mengalami OCD akan melakukan tingkah laku kompulsif, iaitu perbuatan yang diulang berkali-kali dengan tujuan untuk meredakan kegelisahannya.
Antara tingkah laku yang sering berlaku termasuklah mencuci tangan secara berlebihan, menyusun barang mengikut aturan yang sangat khusus, serta memeriksa sesuatu berulang kali.
Dalam sesetengah keadaan, terdapat juga individu yang terlibat dengan aktiviti pengiraan secara obsesif sebagai langkah untuk menenangkan fikiran mereka.
Walaupun perbuatan ini memberikan kelegaan sementara, ia sebenarnya lebih menyukarkan individu tersebut untuk keluar daripada cengkaman gangguan ini.
Rawatan

Dari segi rawatan bagi gangguan ini, pengurusan OCD lazimnya melibatkan gabungan antara penggunaan ubat-ubatan dan terapi psikologi.
Dalam rawatan perubatan, doktor sering menetapkan sejenis ubat antidepresan yang dikenali sebagai Selective Serotonin Reuptake Inhibitors atau SSRIs bagi membantu mengurangkan keamatan simptom OCD.
Dalam kebanyakan kes, dos yang diperlukan adalah lebih tinggi berbanding rawatan kemurungan biasa dan kesannya tidak berlaku serta-merta.
Kebiasaannya, perubahan yang lebih ketara hanya dapat dirasai selepas tempoh beberapa minggu, sekitar dua hingga tiga bulan, walaupun sesetengah individu menunjukkan tindak balas lebih awal terhadap rawatan ini.
Sumber: Jiwa Damai
The post Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD): Lebih Daripada Sekadar Tabiat Pentingkan Kebersihan first appeared on OHBULAN!.





