Viu Malaysia dengan bangganya mengumumkan bahawa drama Viu Original yang bertajuk ‘From Saga With Love’ telah memainkan peranan penting dalam kejayaan Suruhanjaya Filem Saga meraih Anugerah Utama di Japan Film Commission (JFC) Awards ke-11, yang berlangsung di Kobe, Jepun pada 26 Jun lalu.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Pelakon ‘From Saga With Love 2‘ Tertipu Dengan ‘Prank’ Hun Haqeem – ‘Aku Dah Agak Dah’
Cipta sejarah!

Difahamkan, kejayaan Suruhanjaya Filem Saga meraih anugerah ini adalah hasil daripada penggunaan filem dan drama sebagai pemangkin pelancongan serantau dengan ‘From Saga With Love’ menjadi pencetus utamanya.
Menurut Agensi Pelancongan Jepun, penggambaran drama yang dijalankan di 14 bandar di Wilayah Saga ini telah berjaya menarik perhatian penonton Malaysia, sehingga menyumbang kepada peningkatan sebanyak 198% kadar penginapan pelancong Malaysia ke sana.
Siri ini bukan sahaja mencuri perhatian rakyat Malaysia sejak tayangan perdananya pada 2023, bahkan berjaya memungut dua anugerah di Asian Academy Creative Awards 2024 termasuklah anugerah Pelakon Wanita Terbaik (Komedi) yang dimenangi Siti Khadijah Halim.
Jalin hubungan erat dua negara

Sementara itu, Kingsley Warner selaku Pengurus Negara Viu Malaysia berkata, pengiktirafan ini menunjukkan bahawa industri perfileman dan drama berupaya menjalinkan hubungan yang lebih erat antara dua negara.
Pengiktirafan ini membuktikan betapa berpengaruhnya sebuah penceritaan.
Kami gembira From Saga With Love telah menyerlahkan keunikan Wilayah Saga sambil mengukuhkan hubungan budaya Malaysia-Jepun.
Di Viu, kami akan terus komited dalam mencipta kandungan yang relevan secara lokal tetapi berdaya saing di arena global.
Tidak terhenti di situ, jumlah tontonan bagi drama bersiri ini sudah melebihi 90 juta, dengan lebih 500,000 interaksi di media sosial, mengikut data dari Hootsuite dan TikTok.
Kini, versi dengan sarikata Jepun beserta peta lokasi digital Musim 1 telah mula diedarkan di Jepun sejak musim luruh tahun lalu disediakan bagi memperluaskan lagi jangkauan budaya.
Sekadar info, drama ‘From Saga With Love’ merupakan siri drama romantik yang mengisahkan perjalanan empat sekawan dari Malaysia Karma (Siti Khadijah Halim), Sham (Ikmal Amry), Bianca (Sophia Albarakbah) dan Bob (Fimie Don) dalam meneroka cinta, persahabatan dan pencarian diri di pekan-pekan indah Wilayah Saga, Jepun.
Musim kedua pula memperkenalkan watak baharu, Hadri (Hun Haqeem), yang menambahkan dinamik segar kepada cerita dan memperdalam emosi serta hubungan antara mereka. Dengan gabungan elemen komedi romantik, budaya tempatan, dan kedalaman emosi, siri ini terus meraikan ikatan bermakna yang melangkaui sempadan.
The post From Saga With Love Cipta Sejarah, Bantu Wilayah Saga Menang Anugerah Utama JFC first appeared on OHBULAN!.





