
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyokong pembukaan Idea Live Arena sebagi ruang acara hiburan baharu yang dilihat mampu merangsang pertumbuhan industri hiburan serantau serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat budaya dan pelancongan bertaraf antarabangsa.
Idea Live Arena

Ketika ditemui , Ketua pegawai eksekutif FINAS iaitu Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pembukaan Idea Live Arena ini selari dengan pengumuman Kementerian Komunikasi berhubung pelaksanaan Insentif Konsert dan Acara di Malaysia (CEMI), iaitu program sokongan berbentuk rebat kewangan untuk membantu penganjuran konsert serta acara berskala besar.
Bermula 15 Mei 2025, sebanyak RM10 juta setahun akan diperuntukkan melalui CEMI bagi menyokong penganjuran acara berskala besar yang mampu menarik lebih 15,000 pengunjung dan menggabungkan penyertaan artis tempatan dan antarabangsa.
Menurut Azmir, Idea Live Arena yang dikendalikan oleh syarikat Superstar Arena Holdings Sdn Bhd ini merupakan lokasi konsert terbesar dalam pusat beli-belah di Malaysia dan dewan acara tertutup kedua terbesar selepas Axiata Arena, Bukit Jalil.
Idea Live Arena boleh memuatkan sehingga 7,000 penonton dan dilengkapi peralatan terkini sesuai untuk mengadakan konsert, pameran dan pelbagai acara hiburan.
Kita mengalu-alukan kemudahan seperti ini untuk membangunkan industri kreatif, bukan sahaja dari segi hiburan, malah pendidikan, dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab perniagaan hiburan serantau.
Tambahnya, walaupun baru sahaja dilancarkan, Idea Live Arena telah ditempah sepenuhnya sehingga hujung tahun, sekali gus membuktikan industri kreatif tanah air terus berkembang.
Ruang konsert baharu

Pembukaan arena ini juga seiring dengan aspirasi nasional untuk memperkukuhkan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan budaya dan hiburan, selari dengan matlamat Visit Malaysia 2026 (VM2026).
Idea Live Arena yang terletak di dalam pusat beli-belah 3 Damansara, Petaling Jaya, dibangunkan menerusi pelaburan RM40 juta, membabitkan kerja naik taraf struktur, pengubahsuaian serta pemasangan sistem teknikal bertaraf antarabangsa.
Dengan fasiliti canggih dan keupayaan menganjurkan acara bertaraf dunia, Idea Live Arena diyakini mampu menarik kehadiran pelancong serantau dan antarabangsa, serta melonjakkan lagi industri hiburan dan pelancongan negara.
Majlis pelancarannya turut disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Tan Mei Phing.
Pelancaran rasmi turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada Datuk Sheila Majid yang membawakan lagu-lagu ikonik seperti Warna, Legenda dan Sinaran, sekali gus memperlihatkan keunggulan sistem akustik dan visual arena berprestij ini.





