Industri muzik nasyid tanah air bakal menyaksikan pertemuan istimewa apabila sembilan kumpulan popular bakal berkumpul menerusi Konsert Lagenda Nasyid Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada tahun hadapan.
Artikel Berkaitan: Rabbani Bakal Imbau Kegemilangan Nada Murni, 15 Lagu Nostalgia Jadi Pilihan Sempena 40 Tahun
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Evolusi 25 Tahun: Inteam Buktikan Nasyid Bukan Sekadar Lagu, Tapi Wadah Perjuangan & Keinsafan
Konsert Lagenda Nasyid Malaysia

Konsert anjuran Rabbani Empire Resources dan Emas Sri Semantan itu diadakan bagi meraikan perjalanan muzik nasyid sepanjang tiga dekad, selain menghargai penggiat seni yang telah mewarnai industri muzik tempatan.
Antara kumpulan yang bakal membuat persembahan ialah Raihan, Rabbani, Hijjaz, Brothers, Saujana, Inteam, UNIC, Aeydan dan NowSeeHeart.
Ketika ditemui , wakil penganjur Azadan Abdul Aziz berkata, konsert ini bukan sekadar hiburan, sebaliknya sebagai penghargaan terhadap perjuangan penggiat seni nasyid.
Selama tiga dekad, muzik nasyid telah melalui pelbagai fasa perkembangan dan berjaya meninggalkan kesan tersendiri dalam industri muzik tanah air.
Kami mahu konsert ini menjadi sebuah pertemuan istimewa antara penggiat seni dengan peminat yang telah bersama-sama menyokong perjalanan muzik nasyid selama ini.
Kami juga berharap penganjuran ini dapat memperkenalkan keunikan muzik nasyid kepada generasi muda dan memastikan legasi seni ini terus dihargai serta diwarisi.
Azadan berkata demikian pada sidang media Pengumuman Konsert Lagenda Nasyid Malaysia yang berlangsung di Rabbani Event Hall, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Tiga dekat muzik nasyid

Dalam pada itu, kejayaan kumpulan seperti Rabbani, Raihan dan Inteam menembusi pasaran antarabangsa membuktikan bahawa muzik nasyid Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus berkembang.
Kejayaan tersebut turut menjadi antara asas usaha mengangkat martabat nasyid sebagai genre muzik yang mempunyai identiti dan kekuatan tersendiri.
Sekadar info, Konsert Lagenda Nasyid Malaysia ini bakal berlangsung pada 29 Mei 2027, jam 8 malam di Setia City Convention Centre (SCCC), Setia City, Selangor.
Tiket ditawarkan pada harga RM99, RM199 dan RM299, dan boleh didapati menerusi platform Ticket2U bermula 15 Disember 2026.
The post Raikan Tiga Dekad Perjalanan Seni, Sembilan Kumpulan Bakal Bersatu Di Konsert Lagenda Nasyid Malaysia first appeared on OHBULAN!.





