
Sebuah karya seram psikologi yang diinspirasikan daripada kisah benar, ‘Laknat’, bakal menghantui pawagam seluruh negara mulai 5 Jun 2025.
Inspirasi kisah benar

Mengangkat tema kepercayaan, godaan duniawi dan kehancuran akibat syirik. Naskhah ini diarahkan oleh pengarah tersohor Saw Teong Hin, diterbitkan oleh Real Films, dengan kerjasama Tutan Entertainment dan diedarkan oleh D’Ayu Pictures.
‘Laknat’ membuka ruang kesedaran kepada penonton tentang bahaya mempercayai amalan khurafat dan menyekutukan Tuhan. Filem ini memaparkan bagaimana manusia boleh tergelincir daripada landasan iman apabila diuji dengan penderitaan, lalu terpedaya dengan hasutan iblis yang menyamar dalam bentuk pertolongan.
Diinspirasikan daripada pengalaman sebenar beberapa individu, ‘Laknat’ menyingkap sisi gelap manusia yang sanggup menggadaikan akidah demi mengejar keinginan dunia. Filem ini membawa mesej jelas bahawa iblis adalah musuh nyata, dan hanya kebergantungan kepada Allah SWT mampu menyelamatkan manusia daripada kehancuran jiwa.
Mengisahkan watak Luth lakonan Aeril Zafrel, yang masih dibelenggu kesedihan selepas kehilangan adik perempuannya Laila (Puteri Balqis). Luth terperangkap dalam permainan halus iblis bernama Laqqus. Ketika jiwanya dalam keadaan rapuh, Luth dipujuk melalui ilusi dan hasutan hingga sanggup melakukan apa saja untuk ‘menghidupkan’ kembali adiknya dan membongkar kematian tragis tersebut termasuk membuat perjanjian dengan syaitan.
Namun dalam pencariannya, Luth bukan sahaja kehilangan arah, malah mula melihat sisi gelap orang-orang di sekelilingnya. Perjalanan yang sepatutnya membawa jawapan akhirnya menjadi jalan ke jurang kehancuran.
Melalui penceritaan yang mencengkam, ‘Laknat’ menyerlahkan mesej utama bahawa kehidupan dunia hanyalah sementara. Segala bentuk amalan syirik dan khurafat adalah jalan menuju kebinasaan jika tidak ditinggalkan. Hanya dengan kembali kepada ajaran Allah SWT, manusia mampu melindungi diri daripada tipu daya syaitan yang halus tetapi merosakkan.
Laknat bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 5 Jun akan datang.
Filem ini turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Aeril Zafrel, Puteri Balqis, Jalil Hamid, Mila Mohsin dan ramai lagi.
The post Filem ‘Laknat’ Inspirasi Kisah Benar, Bongkar Tipu Daya Iblis first appeared on OHBULAN!.





