Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menganjurkan siri jelajah forum Pesona Sinema FFM35 bagi merapatkan jurang mahasiswa dengan penggiat seni tempatan.
Artikel Berkaitan: FFM35: Dominasi 12 Pencalonan, Shamyl Othman Yakin ‘Khadam’ Ada Kekuatan Tersendiri – ‘Kalau Menang, Alhamdulillah’
FFM35 Pesona Sinema

Siri jelajah selama dua hari itu bermula di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kuala Pilah pada 17 November, sebelum melabuhkan tirainya di UiTM Kampus Rembau keesokan harinya.
Program ini berjaya menghimpunkan hampir 1,000 mahasiswa yang berpeluang mengikuti perkongsian eksklusif daripada barisan tokoh dan penggiat seni tersohor tanah air.
Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, penganjuran forum ini merupakan inisiatif penting bagi memberi kesedaran kepada generasi muda mengenai dinamika dunia digital dan impaknya terhadap reputasi serta kelangsungan kerjaya seorang anak seni.
Kerjasama berterusan bersama FINAS ini membolehkan kami membawa pakar industri untuk berkongsi ilmu kepada mahasiswa. Dalam era media sosial hari ini, platform digital adalah medan terbaik untuk mempamerkan bakat, namun ia juga merupakan pedang bermata dua.
Sekiranya disalah guna, berisiko mencalarkan reputasi individu melalui fenomena ‘cancel culture’ yang semakin membimbangkan. Justeru, forum ini menjadi ruang diskusi matang antara mahasiswa dan individu berpengaruh yang pernah memenangi atau tercalon dalam sejarah 35 tahun Festival Filem Malaysia.
Di UiTM Kuala Pilah, forum bertemakan ‘Membina Jenama Peribadi Dalam Era Digital’ membariskan tiga panelis profesional iaitu pengarah Shamyl Othman, pelakon Nad Zainal, serta bakat muda yang sedang meningkat naik, Idan Aedan.
Dalam sesi tersebut, Nad Zainal atau Farah Nadia Zainal Abidin, 36, menekankan kepentingan menjaga nilai eksklusiviti serta disiplin diri dalam mengendalikan hantaran di media sosial bagi mengelakkan provokasi yang tidak perlu.
Sebagai selebriti, kita perlu mengekalkan nilai eksklusif. Pesanan pensyarah saya yang sentiasa saya pegang adalah jangan biarkan kehadiran kita nampak ‘bersepah’. Jika wajah dan kehidupan kita terlalu terdedah di merata tempat, nilai istimewa itu akan pudar dan penonton tidak lagi berasa teruja untuk menyaksikan karya kita di layar lebar.
Tugas utama saya adalah berlakon, jika pulang ke rumah saya adalah seorang isteri. Oleh itu, saya memilih untuk tidak mencampuri urusan orang lain atau memberikan ulasan berunsur provokasi. Saya lebih selesa berkongsi kandungan ringkas dan santai mengenai gaya hidup atau pendidikan anak-anak.
Penjenamaan diri

Sementara itu, pada sebelah petang, pelakon dan penerbit, Darling Ngasri turut bersama dalam program berkenaan bagi membincangkan kepentingan membina penjenamaan diri dalam kalangan penggiat seni agar kekal relevan dalam industri seni hari ini.
Tengku Khalidah pula bercakap tentang kemahiran komunikasi yang perlu diterjemahkan dalam cara positif untuk mengajak masyarakat kekal dalam kelestarian kehidupan yang lebih menjunjung disiplin diri di landasan yang betul.
Saya selalu percaya dalam apa juga keadaan ilmu komunikasi yang baik akan dapat membantu semua orang untuk meraih peluang lebih besar untuk kehidupan hari ini dan masa hadapanạỊ jelasnya.
Siri jelajah kemudian diteruskan di UiTM Kampus Rembau dengan penampilan istimewa legenda industri, AR Badul (Pemenang Pengarah Terbaik FFM8), bersama Sweet Qismina (Pelakon Wanita Terbaik FFM34) dan aktor aksi, Andy Teh.
Program Pesona Sinema dianjurkan WHAM dengan kerjasama FINAS sebagai rakan strategik dan Sit Connect Asia.
Program ini merupakan antara pengisian strategik bagi menyemarakkan sambutan menjelang malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang dijadualkan berlangsung pada 21 November ini bertempat di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Acara berprestij itu bakal dikemudikan oleh Datuk Afdlin Shauki dan Amelia Henderson, serta akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2.
The post FFM35: Himpunkan Bintang Filem Bersama Mahasiswa, AR Badul & Sweet Qismina Antara Yang Meriahkan Forum Pesona Sinema first appeared on OHBULAN!.





